Biography

Berasal dari keluarga seni

Berasal dari Muar, Johor Darul Takzim. Sejak dari kecil atas dorongan keluarga, Ramlah telah berjinak-jinak dalam bidang seni. Ketika bapa serta abang Ramlah menubuhkan sebuah kumpulan Ghazal, ketika inilah juga bakat Ramlah dikesan oleh bapa. Beliau banyak memberikan dorongan untuk Ramlah mencuba nasib dalam pertandingan-pertandingan nyanyian di sekitar negeri Johor. Pertandingan demi pertandingan Ramlah sertai dan Alhamdulillah akhirnya beliau berjaya menempa kejayaan. Kejayaan yang paling bermakna buat Ramlah ialah apabila beliau berjaya melayakkan diri peringkat demi peringkat untuk pertandingan Bintang RTM pada tahun 1985 dimana pada masa itu pertandingan ini amatlah berprestij dan telah banyak melahirkan bintang-bintang tersohor seperti Sudirman, Jamal Abdillah, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Siti Nurhaliza dan Azharina.

Bermulanya karier Ramlah sebagai anak seni

Setelah bergelar juara Bintang RTM 85, Ramlah telah ‘disunting’ dengan segera oleh Dato’ Ahmad Nawab yang berhasrat untuk mendidik Ramlah sebagai anak ‘muridnya’. Sebagai pucuk dicita, ulam mendatang, Ramlah terus bersetuju menerima lamaran tersebut. Dari sinilah bermula detik karier Ramlah sebagai seorang artis rakaman. Maka setelah berbula-berbulan merakamkan lagu-lagu untuk album sulong beliau, maka lahirlah album Sabarlah Sayang . Album pertama Ramlah diterbitkan oleh Dato Ahmad Nawab cukup bermakna untuk memperkenalkan Ramlah pada semua peminat yang sudah ternanti-nantikan kemunculan album beliau.

Album Sabarlah Sayang ini merupakan percubaan pertama Ahmad Nawab untuk mencari apakah identiti sebenar Ramlah. Sebab itulah, album ini banyak mengutarakan lagu-lagu yang sarat berkonsepkan muzik dangdut. Namun begitu, lagu-lagu seperti Sabarlah Sayang, Indahnya Dunia Cintamu, Di Hati Ini, Sepi Mengubah Janji dan Betapa Sayangnya Aku menjadi siulan anak mudi ketika itu.

Populariti Ramlah yang baru sahaja bergelar Juara Bintang RTM sedikit banyak membantu jualan album tersebut sehingga berjaya dijual sebanyak 30,000 unit.

Ramlah catat sejarah terbesar dalam industri seni tanahair

Dato’ Ahmad Nawab sekali lagi bertanggung jawab untuk menjadi penerbit untuk album kedua Ramlah, ‘Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu‘. Album ini mencipta kejayaan yang luar biasa  hingga terjual hampir setengah juta unit ketika itu. Satu pencapaian yang Ramlah rasa cukup memuaskan dan belum pernah dicapai oleh mana-mana artis terkenal pada masa itu. Apatah lagi memori yang dilakarkan ketika album ini juga menjadi sejarah pada Anugerah Juara Lagu 1988 di mana lagu tersebut menjadi Juara Lagu 1988 dan Ramlah sendiri memenangi kategori ‘Persembahan Terbaik

Perjuangan diteruskan

Satu demi satu album Ramlah menyusul selepas itu iaitu ‘Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi’ (1989), ‘Duri Dalam Cinta’ (1990), ‘Kau Penawar Segala Dukaku (1991), ‘Di Ambang Pintu Kasih’ (1992), ‘Nadi Cinta’ (1993), ‘Dangdut’ (1994), ‘Ramlah Ram’ (1995, ‘Cinta Di Musim Dangdut’ (1996) dan yang terakhir ‘Sekeping Cinta Sehampar Janji’ (1998).

Pernah digelar Whitney Houston Malaysia kerana nada tinggi beliau iaitu ‘F Sharp’ adalah setanding diva terkenal Amerika Syarikat itu. Vokal serta penghayatannya ketika menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi telah terbukti sehingga kini dengan beberapa kejayaan di Juara Lagu (1988) dan Hits 1 (2008) dan pernah dicalonkan merebut vokal terbaik di AIM 1995 dan 1998 menerusi album ‘Ramlah Ram’ dan ‘Sekeping Cinta Sehampar Janji’

Setelah bergelar isteri

Selepas mendirikan rumahtangga bersama jurutera RTM, Kamal Roslim pada tahun 2000, Ramlah Ram banyak menyepikan diri kerana komitmen rumahtangga yang baru dibina sehinggalah kemunculan semula beliau menerusi lagu ‘Maharaja’ pada tahun 2006 memuncak namanya kembali. Single berjudul ‘Maharaja’ ini adalah untuk dimuatkan dalam album kompilasi ‘Pujaan Pop Asli’. Sambutan peminat di luar dugaan Ramlah bila lagu itu mendapat sambutan peminat. Dari situ barulah Ramlah mula berminat untuk membuat ‘comeback’.

Album terbaru yang berada di pasaran pada 1 Jun 2009 tahun lepas telah memuatkan lagu ‘Ketentuan’ dan ‘Dirgahayu’ yang mara ke peringkat akhir Juara Lagu 22 sebelum ini. Album ini juga memuatkan lagu-lagu hebat ciptaan Hazami, Azlan Abu Hassan, Sharon Paul, Tam Spider, Aidit Alfian, Fauzi Marzuki dan M. Nasir.

Terima Kasih buat FMC yang banyak memberikan semangat. Paling istimewa kelab peminat Ramlah ‘Ramlah Ram Group’ yang banyak memberikan sokongan pada karier Ramlah. InsyaAllah dengan sokongan semua album terbaru Ramlah akan menyusul bulan ini. Buat semua peminat Ramlah, bolehlah berkomunikasi dengan Ramlah di sini. Terima kasih semua…

Pencapaian

  1. Juara Bintang RTM 1985.
  2. Juara Anugerah Juara Lagu 1988 (Kau Kunci Cintaku di Dalam Hatimu).
  3. Juara Persembahan Terbaik [Anugerah Juara Lagu 1988] – Lagu ‘Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu]
  4. Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 1988
  5. Artis Melayu Pertama menerima anugerah Platinum Kembar Lima menerusi Album ‘Kau Kunci Cintaku di Dalam Hatimu’ yang terjual melebihi 350,000 unit dan sehingga kini album tersebut terjual melebihi 450,000 unit
  6. Album Melayu Pertama ‘Kau Kunci Cintaku di Dalam Hatimu’mencapai hasil jualan tertinggi sepertimana tercatit dalam ‘Book of Record Malaysia’
  7. Pencapaian ‘Single Platinum Disc’ pada tahun 1988 untuk Album ‘Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu’ kerana jualan melebihi 10,000 unit di Singapore
  8. Tempat Ketiga [Anugerah Juara Lagu 1989] (Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi)
  9. Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 1989
  10. Pencapaian ‘Double Platinum Disc’  pada tahun 1990 untuk Album ‘Cintaku Hanyut Dilautan Sepi’ kerana jualan melebihi 100,000 unit dan sehingga kini album tersebut terjual melebihi 280,000 unit
  11. Pencapaian ‘Single Platinum Disc’ pada tahun 1990 untuk Album ‘Duri Dalam Cinta ‘ kerana jualan melebihi 50,000 unit. Album tersebut mencatat sejarah jualan di hari pertama  sebanyak 60,000 unit
  12. Pencapaian ‘Single Platinum Disc’ pada tahun 1991 untuk Album ‘ Kau Penawar Segala Dukaku’ kerana jualan melebihi 50,000 unit
  13. Pencapaian ‘Emas’ pada tahun 1992 untuk album Di Ambang Pintu Kasih kerana jualan melebihi 25,000 unit
  14. Pencapaian ‘Single Platinum Disc’ pada tahun 1993 untuk album Di Ambang Pintu Kasih kerana jualan melebihi 50,000 unit
  15. Naib Juara Pujaan Nescafe 1993 dengan Lagu Di Ambang Pintu Kasih.
  16. Finalist Juara Lagu 1994 kategori Irama Malaysia menerusi lagu ‘Selamat Jalan Romeo’
  17. Pencapaian ‘Single Platinum Disc’ pada tahun 1994 untuk album Dangdut kerana mencapai tahap jualan melebihi 50,000 unit dan sehingga kini album tersebut terjual melebihi 120,000 unit
  18. Pencapaian ‘Single Platinum Disc’ pada tahun 1994 untuk album pasti Hitz kerana mencapai tahap jualan melebihi 50,000 unit
  19. Finalist Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Album ‘Ramlah Ram’ Anugerah Industri Muzik 1995
  20. Finalist Album Pop Terbaik Album ‘Ramlah Ram’ Angerah Industri Muzik 1995
  21. Pemenang Anugerah ‘Golden Voice’ di Vietnam 1997 semasa mewakili Malaysia ke Pesta lagu Asean
  22. Pencapaian ‘Single Platinum Disc’ pada tahun 1998 untuk album ‘Dunia Dangdut Super duet’ kerana mencapai tahap jualan melebihi 50,000 unit
  23. Finalist Album Pop Etnik Terbaik Album ‘Sekeping Cinta Sehampar Janji’ Anugerah Industri Muzik 1998
  24. Finalist Juara Lagu 1998 kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif menerusi lagu ‘Zapin Yang Tinggal’
  25. Finalist Anugerah Juara Lagu 22 (2007) kategori Etnik Kreatif menerusi lagu ‘Dirgahayu’
  26. Juara Hits 1 Musim ke 5 Anjuran RTM menerusi lagu ‘Ketentuan’ ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh AD Samad – Kategori Lagu Terbaik
  27. Finalist Lagu Pop Etnik Terbaik Anugerah Industri Muzik 2009 menerusi lagu ‘Dirgahayu’ ciptaan Raden Sri dan lirik oleh Hairul Anuar Harun’
  28. Finalist Lagu Pop Terbaik Anugerah Industri Muzik 2009 menerusi lagu ‘Ketentuan’ ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh AD Samad
  29. Anugerah Khas 2010 anjuran Media Hiburan
  30. Sesaat Kau Datang featuring Sleeq Juara Muzik Muzik selama 11 minggu berturut-turut
  31. Separuh akhir Muzik Muzik dengan lagu Sesaat Kau Datang

Senarai Album-album Ramlah Ram

  1. Sabarlah Sayang (1986)
  2. Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) (1988)
  3. Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi (1989)
  4. Duri Dalam Cinta (1990)
  5. Lagu Hits Ahmad Nawab Nyanyian Ramlah Ram Vol 1 (1990)
  6. Kau Penawar Segala Dukaku (1991)
  7. Di Ambang Pintu Kasih (1992)
  8. Nadi Cinta (1993)
  9. Dangdut (1994)
  10. Ramlah Ram (1995)
  11. Cinta Di Musim Dangdut (1997)
  12. Sekeping Cinta Sehampar Janji (1998)
  13. Koleksi Terbaik Ramlah Ram (1999)
  14. Ketentuan (2009)
  15. Aspirasi Hati (2012)
  16. Hits Terbaik (2015)

Single / Duet Ramlah Ram

  1. ‘Susah Senang Kita Bersama’ (duet bersama Nassier Wahab) dari album ‘Sekali Aku Jatuh Cinta’ November 1988
  2. ‘Hati Sepi Seorang Perempuan’ dari album ” Sukan Sea’ terbitan BMG (1989)
  3. ‘Kami Bersamamu’ (nyanyian artis BMG (Ajin Blackrose, Ziana Zain, Zur Eda dan Sheqal) untuk projek khas album untuk Zaiton Sameon (1992)
  4. ‘Aniaya’ single solo dari album ‘Pasti Hits’ terbitan Sony Music / BMG Music (sekarang Sony BMG Malaysia) (1995)
  5. ‘Rahmat Di Sebalik Duka’ ciptaan Saari Amri single solo dari album ‘Koleksi Terbaik Saari Amri Vol 1′ (1996)
  6. ‘Saling Percaya merupakan single dari album ‘ Dunia Dangdut super duet’  di mana Ramlah Ram berduet dengan  Iwan(1998)
  7. ‘Mendam Berahi’ duet bersama Jamal Abdillah untuk lagu tema filem ‘Mendam Berahi’ terbitan Metrowealth Production (2000)
  8. ‘Maharaja’ single terbaru dari album Pop Asli terbitan FMC (2006)
  9. ‘Ketentuan’ dan ‘Dirgahayu’ single terbaru untuk siaran stesen radio seluruh Malaysia. Single ‘Ketentuan’ menjuarai hampir kesemua stesen radio bandar dan luar bandar seluruh Malaysia manakala ‘Dirgahayu’ mara ke peringkat akhir Juara Lagu 22 yang berlangsung pada 26 Januari 2008
  10. Cinta Gila single pertama dari terbitan RRG-e menjadi juara Muzik FM selama 4 minggu berturut-turut.
  11. Benar Mencintai single kedua dari Aspirasi Hati yang pertama kali menampilkan duet bersama Faris AwanBand.
  12. Sesaat Kau Datang single ketiga yang berjaya mengembalikan populariti Ramlah Ram hingga lagi ini dinobatkan sebagai Lagu Paling Popular 2012.

Filem

  1. Buli Balik
  2. VCD Telemovie ‘Lauk Ku Cukup Masin’

Theater

  1. Tanggang
  2. Di Sebalik Tabir

Videography

  1. Ketentuan (2009)
    MTV Karaoke Terbitan FMC
  2. The Best of Me (2006)
    MTV Karaoke Terbitan Life Record
  3. Memori Hit Ramlah Ram (2005)
    MTV Karaoke Terbitan Music Valley
  4. Ramlah Ram Terbaik (2001)
    MTV Karaoke Terbitan Audio One

Buku

  1. Suka Duka Ramlah Ram (1993)

  1. Naib Juara Pujaan Nescafe 1993 dengan Lagu Di Ambang Pintu Kasih.