Review album Di Ambang Pintu Kasih by MTB

Posted on Posted in Album Review

RAMLAH Ram menyertai syarikat rakaman antarabangsa BMG Music pada 1993 selepas meninggalkan Nawab Productions pada 1992. Ramlah mahukan pembaharuan dan ingin lari daripada ‘pengaruh’ muzik Ahmad Nawab yang membimbingnya sejak album pertama – Sabarlah Sayang pada 1986.

Keinginan Ramlah termakbul dengan kemunculan album sulungnya bersama BMG – Di Ambang Pintu Kasih pada 1993. Ramlah membawa kelainan dalam album ini yang diterbitkan bersama hampir 10 komposer dan pemuxik handalan seperti M Nasir, Fauzi Marzuki dan Saari Amri. Ini berbeza ketika bersama Ahmad Nawab yang albumnya diterbitkan sepenuhnya oleh komposer itu.

Kelainan nyata dalam album 10 lagu ini adalah tiada lagu berirama Hindustan seperti album Ramlah terdahulu. Namun, ada beberapa lagu digubah melodinya dengan menggunakan kekuatan vokal Ramlah. Contohnya, lagu Curang ciptaaan sepenuhnya Saari Amri.

M Nasir pula menyumbangkan lima lagu termasuk lagu judul album ini dengan menggunakan nama Hidayat. Fauzi Marzuki dan Rosli Ali dengan masing-masing satu lagu ciptaannya dan Zuraini pula menghasilkan dua lagu untuk album ini.

Tidak dinafikan album ini amat berbeza berbanding album Ramlah terdahulu terutama dari segi melodi dan susunan muziknya. Ramlah mungkin berjaya membawa pembaharuan, tetapi ia belum dapat diterima oleh peminatnya.

Ramai yang lebih menyenangi Ramlah dengan ‘gaya’ Ahmad Nawab daripada penampilan barunya itu. Hasilnya, album ini kurang mendapat sambutan dan tidak banyak lagu dalam album ini yang boleh ‘dikenang’ hingga kini. kecuali satu dua lagu seperti Madah Dan Karenah dan Cinto Badarai.

Lebih malang lagi, Ahmad Nawab menerbitkan album Nadi Cinta edaran WEA Records pada masa sama album Di Ambang Pintu Kasih berada di pasaran. Album itu mengandungi 10 lagu dengan lima lagu baru yang dirakamkan Ramlah sebelum meninggalkan Nawab Productions.

Di Ambang Pintu Kasih gagal menyaingi kehebatan album Ramlah yang diterbitkan Ahmad Nawab bagi dari segi populariti lagunya, mahukan penjualan album.

Source: Mesin Taip Buruk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *