Berita

Ramlah Ram Masih Diminati

Meluahkan rasa kecewanya terhadap industri di negara ini, bagi empunya nama Ramlah Ram ini mengakui semangatnya kian pudar untuk merakamkan album dengan keadaan industri yang tidak menentu.

Walaupun 11 tahun menyepi tanpa sebarang album, namun Ramlah mengakui dirinya masih mempunyai pengikut setia yang menggelarkan diri mereka RRG (Ramlah Ram Group).

Menurut Ramlah lagi, diskriminasi yang wujud di kalangan stesen radio di Malaysia seakan-akan cuba untuk meminggirkan artis veteran. Katanya tidak semua stesen akan memainkan lagu-lagu artis lama. Hal ini menyebabkan segelintir artis seangkatannya seakan-akan merajuk dan terus menyepikan diri daripada industri.

“Album Ketentuan juga susah untuk masuk ke dalam beberapa stesen radio dan itu menunjukkan pilih kasih masih kuat di kalangan sesetengah pihak.

“Masa saya sepi tanpa album, ada juga offer yang datang tapi saya tangguhkan dulu sebab kecewa dengan sesetengah perkara. Masalah cetak rompak dan pelbagai lagi buat saya fikir dua kali untuk bikin album.

“Semangat datang kembali selepas lagu Maharaja dan akhirnya pada Jun 2009, album terbaru saya Ketentuan telah pun dipasarkan hasil daripada sokongan peminat yang tidak putus-putus menyokong karier selama ini,” ujar bekas pemenang Bintang RTM 1985 ini.

Berdiri kukuh 24 tahun sebagai anak seni dan masih lagi mendapat sambutan, bagi Ramlah sendiri, beliau tidak menyangka akan masih disambut baik sehingga ke hari ini.

“Ramlah tak letakkan harapan yang tinggi untuk Ketentuan. Cukuplah orang tahu Ramlah masih menyanyi,” ujarnya yang mempertaruhkan lagu Radang Rindu dan Aku Dengan Dunia.

Album Ramlah Ram – Ketentuan boleh didapati di pasaran dengan harga RM19.90.

Masih Bersama Suami

Jarang dilihat bersama suami sehingga menimbulkan fitnah bahawa hubungan mereka sudah retak. Ramlah pantas menafikan gosip tersebut, sebaliknya menjelaskan hidup mereka masih bahagia.

“Orang cakap begitu sebab kami masing-masing sibuk dan jarang dapat bersama menghadiri mana-mana majlis. Perihal rumahtangga kami tak perlu dihebohkan kepada sesiapa.

“Tidak dinafikan semua orang ada masalah, tapi kita cuba perbaiki. Ramlah cuba yang terbaik. Namun takdir semua di tangan tuhan. Tak berani juga nak cakap lebih-lebih pasal hal ini.

“Tapi kami tak pernah ada masalah apabila berkaitan anak. Janganlah bila kita tak ada anak orang jadikan sebagai punca perceraian. Sebab yang ada anak pun ada juga yang bercerai.

“Memang Ramlah sukakan kanak-kanak tapi buat masa ini belum bersedia lagi untuk mengambil anak angkat. Kalau boleh Ramlah nak anak sendiri,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Album terbaru Ketentuan di Redbox Sogo, Kuala Lumpur.

Menurutnya, walaupun jarang berjumpa suami kerana kesibukan kerja, namun hubungan yang dibina atas dasar cinta ini pasti akan kekal sekiranya disulami dengan kepercayaan terhadap pasangan masing-masing.

“Ramlah bukan jenis yang cemburu. Memang Ramlah sayangkan ikatan perkahwinan ini. Dan Ramlah percayakan dia. Tak guna kita nak fikir bukan-bukan sebab peningkan kepala sendiri.

“Bagi Ramlah, kalau suami nak buat yang tak elok di belakang, dia akan buat juga walau macam mana kita jaga dia,” ujarnya yang telah sembilan tahun melayari kehidupan sebagai isteri kepada Kamal Roslim.

Source: Mangga Online
Oleh: Nonie

One thought on “Ramlah Ram Masih Diminati

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.