AIM21 cemerlang

Posted on Posted in Berita

Dua dekad menganjurkan Anugerah Industri Muzik (AIM) yang merupakan majlis paling berprestij bagi penggiat muzik tempatan, saban tahun akan ada sahaja cakap-cakap belakang yang mengkritik penganjurannya.

Bak kata pepatah, rumah siap, pahat berbunyi. Ada sahaja pihak yang menyuarakan itu dan ini disebabkan ketidakpuasan hati masing-masing menghentam atau menempelak sama ada dari aspek perjalanan acara mahupun keputusan yang dimuktamadkan oleh juri profesional dalam memilih pemenang.

Pun begitu, itu adalah senario biasa dalam apa jua bentuk penganjuran baik di dalam negara ataupun di peringkat global kerana hakikatnya, bagi memuaskan hati semua pihak, ia sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

Namun, Sabtu lalu untuk penganjuran AIM edisi ke-21 (AIM21), tidak keterlaluan apabila dikatakan paling cemerlang diadakan walaupun pada peringkat awalnya dilanda beberapa kontroversi termasuklah isu syarat penyertaan yang hanya membenarkan artis yang berdaftar di bawah Recording Performance Malaysia Berhad (RPM) sahaja.

Selaku penganjur, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tetap dengan pendirian tersebut walaupun ada tentangan daripada individu yang tidak berpuas hati. Dan akhirnya isu itu terus sejuk dan tidak diperkatakan lagi.

Itu adalah sedikit rentetan yang berlaku pada Jun lalu usai sidang akhbar AIM21, namun hari ini ia telah pun berlangsung dengan jayanya di Dewan Merdeka Pusat Dangangan Dunia Putra (PWTC) dan rata-rata, pemerhati muzik tanah air berpuas hati dengan keputusan yang diumumkan.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM, Rosmin Hashim berkata, buat pertama kali dalam sejarah penganjuran anugerah berprestij itu, lagu yang memenangi kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, No More nyanyian penyanyi rap muda, SonaOne diangkat menjadi Lagu Terbaik.

“Ini menunjukkan peningkatan kualiti lagu-lagu Inggeris tempatan dan maklum balas yang diperoleh menjelaskan pemilihan lagu tersebut adalah tepat untuk dipilih memenangi kategori utama itu.

“Ia sekali lagi menunjukkan tiada diskriminasi dalam sistem penjurian AIM seperti mana yang dipertikaikan oleh sesetengah pihak. Pertama, ia adalah lagu Inggeris, manakala faktor kedua, ia dinyanyikan oleh penyanyi yang sangat baharu dalam industri muzik tempatan iaitu SonaOne.

“Kedua-dua faktor itu memperkukuhkan bahawa pemarkahan dan penjurian AIM tidak mempunyai unsur pilih kasih, malah cuba dilakukan setelus-telusnya untuk memberi peluang sama rata buat semua penyanyi dan penggiat muzik asalkan ia mempamerkan daya kreativiti yang baik dan layak ditabalkan selaku pemenang,” katanya.

AIM21 yang disiarkan secara langsung tepat pukul 9 malam di Astro Ria dan Astro Maya HD itu diacarakan oleh dua hos terkenal iaitu Faizal Ismail dan Zizan Razak yang tampak bersahaja mengendalikannya dan tidak berlebihan dalam mencuit hati audiens sama ada di dalam dewan mahupun di rumah.

 Dalam pada itu, mengulas segmen persembahan artis, tirai AIM21 dibuka dengan paduan suara artis Hip Hop, Joe Flizzow dan SonaOne menerusi lagu hit mereka Apa Khabar sambil diselitkan gimik nyanyian disimbahi air hujan di atas pentas yang mendapat perhatian penonton.

Kemudian, pentas diselang-selikan dengan persembahan bertenaga artis-artis hebat tempatan termasuklah gandingan suara penyanyi veteran yang kini popular menerusi program realiti Gegar Vaganza iaitu Ayai Ilusi dan Haleeda serta Rahmat Mega yang bergabung dengan Aweera Mojo.

Menghangatkan suasana seisi dewan pada malam itu semestinya gemersik suara Dayang Nurfaizah tatkala menyampaikan lagu popularnya, Seandainya Masih Ada Cinta yang pernah memenangi Lagu Terbaik pada AIM9 pada 2002.

Turut mencuri perhatian pada malam itu adalah alunan vokal artis-artis muda yang tercalon dalam kategori Artis Baru Terbaik seperti SonaOne, Azmarul Azuan dan Fakhrul Razi dengan mempersembahkan single masing-masing.

Menutup tirai AIM21, audiens dirancakkan dengan persembahan yang jarang dipersembahkan di mana-mana majlis anugerah iaitu segmen dangdut yang menampilkan trio Ramlah Ram, Sheeda dan Haiza, sekali gus menyempurnakan malam yang penuh gemilang itu.

Senarai penuh pemenang AIM21

Album Terbaik Datuk Siti Nurhaliza – Fragmen

Lagu Terbaik SonaOne ?- No More

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)? Akim – Mewangi

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita): Datuk Siti Nurhaliza – Lebih Indah

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan) Azhael – Hujung Waktu

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Duo/Kolaborasi) Nora bersama Mosyi, Alif & Puteri – Selamanya Bahagia

Kulit Album Terbaik #1 – Stacy Wan Izhar

Rakaman Album Terbaik Konsert Lantera Timur ?– Datuk Siti Nurhaliza

Video Muzik Terbaik? Falling – Yuna

Lagu Pop Terbaik Sesal Separuh Nyawa – Alyah

Lagu Pop Etnik Terbaik Akar Kita Zapin – Ihab Ismail

Lagu Nasyid Terbaik Rindu Allah Sayang Allah (RASA) – Iwan Syahman bersama Iwan Junior

Lagu Inggeris Tempatan Terbaik SonaOne – No More

Lagu Hip Hop Terbaik Apa Khabar – Joe Flizzow bersama SonaOne

Lagu Rock Terbaik Rentak Laguku – Bunkface bersama Amy Search

Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara Salahkah ?– Rossa ft. Hafiz

Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu Salamiah Hassan – Mahligai Kayangan

Artis Baru Terbaik Poova

Anugerah Sri Wirama Datuk Ramli Sarip

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *