Konsert OTM Bersama Bintang Imbasan Era Retro

Posted on Posted in Berita

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Pentas Istana Budaya (IB) akan digegarkan akhir bulan ini dengan persembahan Konsert Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Bersama Bintang.

Membariskan penyanyi yang menjadi fenomena pada tahun 1970-an dan 80-an, konsert selama dua malam pada 30 dan 31 Januari itu kelak akan dipimpin oleh Pengarah Persembahan, Lokman Ghani.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, konsert itu salah satu daripada program tahunan Istana Budaya.

“Persembahan OTM ini lebih kepada tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat.

“Dalam melaksanakan tanggungjawab sosial itu, kita berhibur dengan mengimbau kembali kenangan lagu-lagu popular malar segar dengan konsep retro,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu Lokman Ghani dan Konduktor OTM, Mohd. Yazid Zakaria.

Juhari berkata, barisan artis yang bakal menyertai konsert itu nanti ialah Raja Gelek, Datuk M. Daud Kilau, Rahimah Rahim, Ramlah Ram, J. Mizan serta penyanyi dari Brunei, Dwen.

Tiket-tiket berharga antara RM50 hingga RM300 boleh dibeli mulai minggu depan dengan melayari http://redtix.airasia.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *