20,000 dijangka kunjungi Fiesta Bera

Posted on Posted in Berita

KUALA LUMPUR 2 Mei – Kira-kira 20,000 orang dijangka mengunjungi Fiesta Bera Keempat yang akan diadakan di Laman Kerayong, Bandar Bera, Pahang pada 7 hingga 10 Mei ni.

Pengerusi Penganjur Fiesta Bera Keempat, Tahzir Hussain berkata, program selama empat hari itu akan dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Mei ini.

Katanya, program bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu dijangka meriah dengan pelbagai aktiviti menarik selepas kegagalan mengadakannya dua tahun berturut-turut iaitu pada 2013 dan tahun lalu.

“Selain membuka kedai jualan dan pameran, kami turut mengadakan forum agama dengan menjemput penceramah bebas, Datuk Kazim Elias dan Kursus Keusahawanan Agropreneur Muda oleh selebriti terkenal, Fizo Omar.

bera

“Pada hari terakhir pula, kita turut mengadakan konsert Menjunjung Damai yang melibatkan beberapa artis seperti Salem, Ramlah Ram, Sabhi Sadhi, Dafi, Siti Nordiana, Zul Yahya dan Ani Mayuni,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Tahzir, majoriti penduduk setempat di Bera yang terdiri daripada peneroka, penoreh getah dan nelayan kecil berpeluang mendapatkan maklumat terkini mengenai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan menerusi pameran yang berlangsung.

Katanya, sebanyak 10 agensi kerajaan termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Agrobank, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Veterinar, Peladang dan Perikanan mengambil bahagian kali ini.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/20-000-dijangka-kunjungi-fiesta-bera-1.87199#sthash.S8hNzCXC.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *