AIM 19 – Pencalonan Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik

Posted on Posted in Berita

Nama besar seperti Nora, Shila Amzah, Ramlah Ram dan Datuk Siti Nurhaliza turut bertanding dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita).

Siti Nurhaliza juga dicalonkan dalam kategori Lagu Inggeris Terbaik menerusi lagu Stand Up.

Ramlah Ram dan Sleeq pula dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik.

Antara nama lain yang turut bertanding dalam kategori sama adalah Mizz Nina, Yuna, ZE dan Jaclyn Victor.

Sementara itu, bagi kategori Lagu Pop Terbaik menyaksikan pertembungan di antara Jaclyn Victor, Yuna, Shila Amzah dan pendatang baru Hyper Act.

Manakala bagi kategori utama iaitu Album Terbaik menyaksikan pertembungan di antara Hujan menerusi album (Sang Enemy), Nora (Hikmah), Pesawat (Take Off), Salam Musik (Salam Musik) dan Stacy (Stay-C).

AIM 19 turut menyaksikan ramai muka baru yang mewarnai pencalonan tahun ini seperti Shanel, ZE, Silent Death, Hyper Act, SSk, Filsuf, Keroz Nazri, Salam Musik dan Prince of Pop dalam pelbagai kategori.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM-19, Rosmin Hashim di Hotel Royale Chulan di sini pada Selasa.

Karya yang layak menyertai pertandingan ini ialah bagi tempoh penghasilan bermula 1 Julai 2011 hingga 30 Jun 2012.

Katogeri Lagu Pop Etnik Terbaik Kekal

Dalam perkembangan berkaitan Rosmin berkata, AIM 19 tetap meneruskan kategori Lagu Pop Etnik Terbaik walaupun hanya menerima lima pencalonan daripada nyanyian artis sama iaitu Noraniza Idris.

Katanya, walaupun artis yang dicalonkan adalah sama tetapi kategori itu dikhususkan untuk penulis lirik dan komposer.

“Walaupun nampak sedikit pelik kerana kelima-lima pencalonan itu dinyanyikan oleh Noraniza Idris tetapi kita perlu memberi peluang kepada penulis lirik dan komposer kerana kategori itu sebenarnya untuk menghargai usaha mereka,” ujarnya.

Rosmin memberitahu pihaknya telah menerima sejumlah 465 pencalonan untuk AIM tahun ini dan sebanyak 80 calon dipilih dari 16 kategori yang dipertandingkan.

Pada tahun ini juga pihaknya telah melantik 57 orang juri yang diketuai oleh komposer Adnan Abu Hassan bagi menilai setiap pencalonan yang dihantar.

“Belajar daripada kesilapan tahun lalu, AIM tahun ini hanya diadili oleh penggiat seni yang terlibat secara langsung dalam industri muzik seperti komposer, penyanyi, pemuzik, dan penerbit album.

“Malah kita telah melantik juruaudit yang baru supaya penghakiman lebih efisien,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *