Kurang Lagu Berkualiti Punca Artis Muda Dominasi Muzik Muzik-27

Posted on Posted in Berita

PETALING JAYA: Kekurangan lagu berkualiti selain tidak memiliki nilai komersial daripada penyanyi-penyanyi senior menyebabkan saringan separuh akhir Muzik-Muzik ke-27 (MM27) didominasi oleh penyanyi-penyanyi baru.

Rancangan separuh akhir itu akan berlangsung bermula 11 November ini menerusi saluran TV3.

Pengurus Hiburan Primeworks Studios Sdn Bhd, Muhamad Sufian Che Isa berkata, masalah itu membuatkan para pendengar yang terdiri daripada golongan muda lebih selesa mengundi penyanyi baru.

“Sebenarnya keadaan ini sudah boleh dilihat sejak dua tahun lalu di mana saringan MM kebanyakannya didominasi oleh bakat-bakat muda.

“Begitu juga untuk kali ini, dalam 30 lagu yang dipertandingkan, hanya dua penyanyi senior sahaja yang dipilih iaitu Amy Search (berduet dengan Hazama bagi lagu Simetri) dan Ramlah Ram (duet bersama Sleeq bagi lagu Sesaat Kau Datang). Itu pun, masing-masing mempunyai pasangan duet mereka.

“Memang ramai yang menghantar lagu untuk dicalonkan tetapi kebanyakannya tidak memiliki kekuatan lagu yang tersendiri,” katanya.

Sufian ditemui selepas cabutan nombor persembahan artis di Ecoba, PJ Trade Center, dekat sini, Isnin.

Tambah Sufian, ini tidak bermaksud penyanyi-penyanyi senior langsung tidak memiliki karya yang bagus kerana banyak lagu tidak dicalonkan ke MM.

“Saya tak pasti apakah punca penyanyi senior enggan menghantar lagu. Jika ada yang beranggapan alasannya kerana tidak mahu bersaing dengan bakat-bakat muda, ia sangat subjektif.

“Saya harap, trend penyanyi senior enggan menyertai MM akan berubah dan mereka akan kembali memeriahkan industri muzik kita menerusi pertandingan ini,” ujarnya.

Saringan separuh akhir MM27 menampilkan sebanyak 30 buah lagu sebelum layak berentap ke Anugerah Juara Lagu 27 (AJL27).

Ia akan dipertandingkan dalam tiga bahagian di mana bahagian pertama akan berlangsung pada 11 November (9 malam), kedua, 18 November (9 malam) dan ketiga pada 25 November (10 malam).

Pada bahagian pertama, seramai 11 penyanyi disenaraikan iaitu Aizat, kumpulan Drama, Azlan & The Typewriter, Hafiz, Tomok, Ainan Tasneem, Stacy, Hazama, Sofaz dan Asmidar.

Bahagian kedua terdiri daripada One Nation Emcees & Jimmy Palikat, Yuna, Diandra Arjunaidi, Amir Jahari, Ramlah Ram, Hafiz & Adira, Suki, Shaheizy Sam & Yana Samsuddin, Spider, Jaclyn Victor dan Bedroom Sanctuary.

Manakala untuk bahagian ketiga, lapan penyanyi yang bertanding pula ialah Black & Malique, Hyper Act, Bunkface, Hazama & Amy (Search), Akim & Fiq, Mojo, Shila Amzah dan Hafiz.

Peminat yang ingin menyaksikan persembahan hebat penyanyi kegemaran masing-masing boleh mendapatkan tiket percuma di Balai Pengawal, Sri Pentas Bandar Utama di sini dan Balai Pengawal Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Tiket menyaksikan persembahan bahagian pertama mula diedarkan pada 8 November diikuti bahagian kedua (11 November) dan bahagian ketiga (22 November)

Ia boleh dituntut bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *