Berita

Enam Protege Teruja Semarakkan Mentor 6

Selasa lalu telah berlangsungnya majlis memperkenalkan protege bagi program realiti popular, Mentor musim ke-6. Mereka yang terpilih ialah Salwani Sawi (Ferhad), Abd Kadir Unding Lana (Adam), Puteri Caroline Mohd Kamel (Ella), Ana Syuhada Noor Asram (Ramlah Ram), Noor Nazatul Farahin (Ogy Ahmad Daud) dan Anas Ridzuan (Faizal Tahir).

Kesemua mereka telah dipilih daripada lebih 3000 peserta yang hadir ke sesi ujibakat yang diadakan pada awal tahun ini. Ikuti reaksi mereka apabila terpilih menjadi protege kepada mentor masing-masing.

Ana Syuhada (Ramlah Ram)

Saya masuk Mentor sebagai platform untuk tunjuk bakat dan kebolehan yang saya ada. Mula-mula masa diumumkan, saya tak percaya yang saya akan menjadi protege kepada Kak Ramlah. Saya rasa bertuah kerana Kak Ramlah nampak apa yang ada pada diri saya dan bersyukur dengan rezeki yang diberikan ini.

Puteri Caroline (Ella)

Saya rasa sangat gembira dan seronok apabila dipilih oleh Kak Ella. Masa dia telefon saya, saya memang tak percaya yang saya terpilih. Bagi saya, Mentor merupakan platform yang bagus untuk saya mengetengahkan bakat yang saya ada. Saya masuk Mentor atas niat untuk membantu keluarga saya dan juga memperluaskan lagi bakat nyanyian saya.

Anas (Faizal Tahir)

Sebelum ini saya tak pernah pergi mana-mana sesi uji bakat, namun tiba-tiba terdetik di hati saya untuk masuk Mentor 6. Saya ingin masuk Mentor sebab saya nak belajar apa yang saya tak belajar di universiti. Banyak faedah yang boleh saya peroleh dari program ini dan saya gembira dapat menjadi protege kepada Faizal Tahir.

Wanie (Ferhad)

Saya masuk Mentor sebab nak teruskan perjuangan saya dalam muzik dan mencapai impian saya menjadi seorang pensyarah muzik. Saya mempunyai kelumpuhan muka di bahagian kiri dan semua orang pandang saya pelik. Saya masih lagi malu meneruskan minat saya tapi saya nak cuba lawan penyakit saya ini. Saya nak buktikan kepada semua  yang orang seperti saya juga boleh berjaya. Saya rasa bertuah menjadi protege Ferhad kerana dia seorang yang sangat versatil dan mempunyai cara yang tersendiri.

Zatul (Ogy Ahmad Daud)

Saya mencuba Mentor sebab nak cari satu platform yang betul untuk mengetengahkan bakat saya. Kak Ogy ada banyak pengalaman dalam bidang seni, jadi dia boleh didik saya menjadi penyanyi yang bagus dan berilmu macam dia. Sebagai protege dia, saya kena kuatkan semangat,fizikal dan juga mental saya. Orang kata Kak Ogy garang, tapi saya percaya jika dia marah pasti ada sebab iaitu untuk mempertingkatkan lagi bakat saya.

KJ (Adam)

Dari dulu lagi saya dah minat dengan Adam. Dia bukan saja boleh menyanyi, tapi dia juga boleh menari dengan baik dalam masa yang sama. Saya sendiri sejak 15 tahun sudah mula menari B-Boy, jadi sekarang saya nak buktikan yang saya juga mampu menyanyi dengan baik sambil menari. Saya gembira kerana dapat mentor seperti Adam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.