Misi Protege Mentor 6 Bermula

Posted on Posted in Berita

Program realiti pencarian bakat nyanyian popular TV3, Mentor 6 menyaksikan enam protege, Anas, Wanie, Caroline, KJ, Zatul dan Ana Syuhada terpilih bagi menyemarakkan lagi Mentor musim baru ini. Keenam-enam mereka berjaya terpilih dari lebih 3000 peserta yang hadir pada sesi ujibakat yang diadakan sejak awal tahun ini.

Mentor 6 menampilkan enam barisan mentor yang hebat dan mantap seperti Ramlah Ram, Faizal Tahir, Ella, Ferhad, Adam dan Fauziah Dato’ Ahmad Daud. Kesemua mereka kini sudahpun memulakan tugas bagi memberikan ilmu serta tunjuk ajar kepada protege masing-masing berkaitan bidang nyanyian dan juga seni persembahan.

“Keenam-enam protege telah memulakan sesi latihan dan persiapan bersama tenaga pengajar dan juga mentor mereka bagi mempamerkan persembahan terbaik di konsert pengenalan yang akan bersiaran secara langsung  dari Auditorium MBSA, Shah Alam pada 18 Mac 2012, jam 9.00malam.

 

“Selepas itu, mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan membuat persembahan sebanyak 4 kali di konsert mingguan. Pada minggu terakhir, protege yang mendapat markah terendah akan disingkirkan dan yang berjaya akan bergabung untuk bertanding di peringkat separuh akhir.

“Kemudian, mereka ini akan bertanding selama dua minggu sebelum finalis yang bakal berentap di peringkat akhir Mentor 6 ditentukan,” ujar Penerbit Eksekutif Mentor 6, Muhamad Sufian Isa ketika ditemui pada majlis memperkenalkan protege Mentor musim ke-6, di Hard Rock Cafe, baru-baru ini.

Majlis pada petang itu turut memperkenalkan Ally Iskandar sebagai pengacara program, Jurnal Mentor dan Jurnal Protege, Nas Ahmad (Pengacara Belakang Pentas), Ajai (Penasihat Vokal), Lok-U (Pengarah Muzik), Boo Jay (Penasihat Persembahan) serta Dato’ Ramli M.S dan Dato’ Sharifah Aini selaku juri tetap.

“Tahun ini kualiti daripada mentor dan juga protege semakin meningkat. Seperti biasa, kita mencari yang terbaik dan saya akan pastikan peningkatan vokal protege dari setiap minggu ke minggu,” ujar Ajai selaku Penasihat Vokal Mentor kali ini.

Juara Mentor akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM 100,000 manakala naib juara bakal menerima RM 30,000. Format permarkahan terbahagi kepada tiga iaitu 50% daripada juri profesional, 30% undian SMS dan 20% daripada juri awam.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan konsert mingguan Mentor yang akan disiarkan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, setiap Ahad, jam 9.00 hingga 10.30malam. Penonton juga boleh menyaksikan sorotan persediaan dan aktiviti mentor dan protege melalui Jurnal Mentor, setiap Ahad, jam 6.00petang pada 18 dan 25 Mac serta 5.00petang mulai 1 April 2012.

Manakala Jurnal Protege, kapsul 2 minit yang akan memaparkan diari protege akan disiarkan pada setiap Isnin hingga Jumaat jan 6.58 petang mulai 19 Mac. Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini Mentor 6 bolehlah melayari laman rasmi Mentor di www.tv3.com.my/mentor6 dan laman Facebook www.facebook.com/mentortv3.  Anda juga boleh mengikuti Mentor 6 di laman Twitter, #Mentor6 untuk menghangatkan lagi bahang Mentor kali ini .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *