Berita

Popular Tapi Tak Bernilai

APA perbezaan ketara boleh dilihat antara penyanyi Ramlah Ram dan Mawi? Perbandingan yang dilihat itu sewajarnya tidak melibatkan jantina atau nama program nyanyian yang dijuarai mereka tetapi lebih kepada kualiti selepas meraih populariti.

Semua maklum bahawa populariti boleh mengangkat seorang anak kampung yang naif berubah jadi glamor atau dari seseorang yang buta fesyen, akhirnya kenal semua jenama terkenal dunia.

Perlu diingat juga bahawa populariti berlebihan boleh memendekkan jangka hayat karier mereka dan lebih teruk lagi andai populariti itu hasil undian orang awam.

Sebab itu saya memilih Ramlah dan Mawi sebagai dua contoh penyanyi yang cukup relevan untuk mengupas konteks populariti yang diraih pada golongan artis hari ini.

Sekadar mengimbas, kedua-dua penyanyi itu pernah mencatatkan sejarah tersendiri di stesen televisyen pada zaman berbeza.

Ramlah adalah Juara Bintang RTM 1985 selepas bakatnya dinilai oleh barisan juri bertauliah. Sementara penyandang gelaran Raja SMS, Mawi adalah ‘lubuk emas’ Astro kerana paling banyak membawa masuk undian peminat setelah dinobatkan Juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga pada 2005.

Jika diukur jarak tempoh kemunculan Ramlah dan Mawi sebagai penyanyi adalah selama 20 tahun. Bagaimanapun, kenapa Mawi yang ada pada hari ini seakan tenggelam sedangkan dia pencetus fenomena TsuMawi satu ketika dahulu?

Selepas keluar AF, saham Mawi mencanak naik dan jadual harian, bulanan dan tahunannya cukup padat. Tapi keadaan sibuk sebegitu hanya bertahan setahun dua saja sebab masuk tahun ketiga, populariti Mawi mula merudum. Mawi ke belakang atas pelbagai sebab, mungkin peminat dah bosan dengan cerita peribadi atau dah tak ada modal nak pusing sebab Astro dah habis selongkar.

Semua kebarangkalian pudarnya jenama Mawi itu menjejaskan graf kariernya, mengakibatkan dia semakin dilupai tanpa disedari berbanding saat awal kemunculan Mawi yang popular dengan tagline World.

Sementara itu, Ramlah yang popular terdahulu sebelum Mawi, terus mengumpul peminat generasi muda hari ini walaupun penilik nasib meramalkan jangka hayat karier nyanyian Ramlah tidak panjang. Ramlah menepis telahan negatif dan berjaya buktikan bahawa dia tak perlu tiket popular daripada peminat untuk mendokong 100 peratus karier nyanyiannya.

Mengapa jadi macam itu? Sebab utama Ramlah tak guna pengaruh peminat untuk berdiri teguh seperti mana Mawi yang mencipta nama hasil undian orang ramai.

Bagi saya, kalau mahu jadi penyanyi, seseorang itu perlu cari platform yang guna format konvensional iaitu sistem juri profesional yang pakar dalam bidang nyanyian. Kaedah lama ini mungkin sedikit kuno tapi resipi itu berjaya melahirkan ramai penyanyi terbaik dan malar segar sepanjang zaman.

Kesemua juri bertauliah amat mementingkan kualiti. Selagi penyanyi itu tak mencapai standard, jangan haraplah juri nak pilih, silap haribulan gagal terus. Mereka tak pandang paras rupa atau kedudukan sebab bakat pilihan utama.

Sedangkan kesan SMS yang diperkenalkan untuk mengadili penyanyi baru itu memang tak ada nilai apa-apa. Sudahlah ia ambil alih tugas juri profesional, tak tahan lama pula. Juri awam yang guna SMS ini mengakibatkan jawatan ‘penjaga pintu’ industri nyanyian terhapus sedangkan jawatan itu penting bagi juri profesional sebagai penapis bakat sebelum seseorang itu diiktiraf sebagai penyanyi.

Pengiraan SMS juga bersifat buta, maknanya siapa saja boleh jadi penyanyi, walaupun suara sumbang, menyakitkan telinga yang penting muka cantik. Cara SMS juga mudah nak bagi menang pada seseorang penyanyi baru seperti buat undi kasihan dan bagi semua pengundi tertumpu pada kisah peribadi semata-mata.

Satu lagi, kelayakan pengundi tak bertauliah ini juga diragui kerana kebanyakannya terdiri daripada ‘budak-budak mentah’ saja. Pilihan yang selalu dibuat berdasarkan emosi dan sangat bias dan seleranya ikut musim rancangan TV.

Banyak contoh rancangan realiti TV hiburan dalam negara seperti One In A Million, Malaysian Idol, Mentor, Raja Lawak dan AF (sudah ditamatkan) yang boleh kita renungkan bersama dalam konteks populariti ini.

Begitu juga dengan American Idol, So You Think You Can Dance (tarian), America’s Got Talent (bakat), Cupcake Wars (masakan), Project Runway (fesyen) tidak diketahui ke mana arah mereka.

Proses kelangsungan hidup bintang realiti televisyen ini tidak bertahan lama kerana bahan yang digunakan hanya mencapai standard kopi segera, dibuat tergesa-gesa sebelum habis diminum.

One thought on “Popular Tapi Tak Bernilai

  1. Perbezaan ketara yang dimiliki oleh Mawi dan Ramlah Ram adalah kerana Mawi popular disebabkan kecekapan pihak pengurusan dan media, dengan perktaan “world” sudah cukup untuk memanipulasikan tukang sorak apatah lagi kononnya suara jantan sedangkan iamya tidak ada dalam lingkungan kualiti sebenar.

    Manakala Ramlah Ram pula adalah dilahirkan unggul dalam bidangnya kerana dikurniakan bakat menyanyi. Beliau bukan penghibur tetapi hanya seorang penyanyi yang unggul, tanpa bersandarkan kepada pakaian, kecantikan, lagak sopan atau diampu oleh media dan segala macam kepentingan seperti Siti Norhalizah, Zianah atau mana-mana artis yang lainnya.

    Apa yang ada pada Ramlah Ram hanyalah suara yang harum nyaring yang gemersik sahaja serta kemampuan beliau membuat lantunan lagu, itu shaja. Oleh itu Ramlah Ram perlu berusaha lebih gigih agar keunggulan beliau tidak terlepas pandang oleh khalayak.

    Popular bukanlah yang terbaik tetapi yang terbaik juga tidak semestinya popular. Biarpun seseorang itu mampu untuk menang pelabagai kejuaraan tetapi tidak semestinya berkualiti. Hanya ikhlas dan jujur sahaja yang mampu menikmati sebi seperti ini. Yang lainnya adalah perniagaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.