Ramlah Ram, Faizal Tahir, Ella & Adam AF Antara Barisan Mentor 6

Posted on Posted in Berita

Program realiti pencarian bakat nyanyian popular di TV3, Mentor kini sudahpun memasuki musim ke-6. Petang tadi telah berlangsungnya satu majlis bagi mengumumkan barisan enam artis yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai mentor bagi musim terbaru ini. Mereka yang bakal mewarnai Mentor kali ini terdiri daripada Ella, Faizal Tahir, Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Ramlah Ram, Adam dan Ferhad.

“Berdasarkan kepada perbincangan dan rasa minat calon-calon mentor yang telah disenarai pendek sebelum ini, enam Mentor telah dipilih berdasarkan kualiti yang dimiliki iaitu mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang nyanyian dan berkaliber sebagai tenaga pengajar.

“Peranan mereka ialah untuk memberikan tunjuk ajar kepada para protege berkaitan bidang nyanyian, seni persembahan dan memperlengkapkan diri sebagai penghibur. Selain itu, program ini juga merupakan peluang baik bagi mereka menunjukkan kemampuan sebenar untuk bergelar sifu setelah berjaya dalam perjalanan seni masing-masing,” ujar Muhamad Sufian Isa selaku Penerbit Eksekutif / Penerbit Mentor 6 ketika ditemui di sidang akhbar Mentor 6 di Sri Pentas 3, Bandar Utama.

“Terima kasih kepada keenam-enam artis yang sangat memberi kerjasama kepada kami. Bukan mudah untuk memujuk mereka untuk menyertai program ini dan saya tabik kerana mereka antara yang paling berani untuk membuat Mentor.”

Diperkenalkan pada tahun 2005, program Mentor kini dianggap sebagai nadi utama program realiti di TV3 khususnya dan tempatan amnya. Istimewanya, program Mentor juga berjaya menarik purata jumlah peratusan penonton yang mencecah hampir tiga juta pada setiap minggu.

“Bagi saya, keunikan program Mentor adalah terletak pada mentornya sendiri. Secara tak langsung, ia akan memberi konsep dan persembahan yang berlainan pada setiap musim. Mengenai pemilihan barisan mentor, ada pelbagai faktor yang menyebabkan kami memilih mereka. Pada saya, merekalah yang terbaik yang dapat kami kumpulkan untuk musim ini.”

Apabila ditanya mengenai pemilihan Adam yang mungkin akan dipertikaikan oleh sesetengah pihak, Sufian memberitahu, “Kami ada satu kriteria di mana hasil dari perbincangan, kami nak cari satu kelainan dalam program ini. Kami nak variasi dan cari artis yang mempunyai genre yang berbeza di mana kami rasa Adam sesuai untuk mereka yang minat dengan muzik Pop Dance. Bagi saya, masing-masing ada kekuatan tersendiri dan tak semestinya yang baru itu tidak bagus,” ujar beliau mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *