SleeQ Mengatur Langkah

Posted on Posted in Berita

KUMPULAN rap kian meningkat naik, SleeQ bakal memperkenalkan album baru berkonsep R&B dan Pop pada Februari depan.

Dianggotai dua anak muda dari Singapura, Shariff dan Alyph, album ketiga SleeQ diterbitkan di bawah syarikat rakaman baru milik pelakon Aaron Aziz iaitu Aaronaziz Production.

Shariff berkata, penghasilan album masih belum ada tajuk ini menyusul selepas dua album sebelum ini, Classiq dan In The Q.

“Kami berbesar hati dapat menghasilkan album di bawah syarikat baru selepas bekerjasama dengan Alibi Metadome untuk dua album pertama.

“Setakat ini, kami ada enam lagu untuk album baru. Buat permulaan, kami perkenalkan single dan dikumpulkan menjadi album penuh. Tajuk belum ada. Kami komited sekalipun terpaksa berulang-alik setiap minggu dari Singapura ke Kuala Lumpur menyiapkan rakaman di Malaysia,” katanya sewaktu hadir pada program pelancaran single baru Ramlah Ram bertajuk Sesaat Kau Datang di Quality Hotel, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Mereka berdua membuat penampilan khas menyanyikan segmen rap dalam lagu ciptaan ID MIfzal. Lagu Sesaat Kau Datang sudah menjuarai pelbagai carta radio di Malaysia.

Kata Alyph, lagu Sesaat Kau Datang sudah tentu akan berada dalam ‘music library’ SleeQ kerana memang lain daripada yang lain.

SleeQ mula berkecimpung dalam genre rap pada 2005 dan pernah menjadi artis syarikat KRU Singapura selama beberapa bulan.

Nama duo ini mula dikenali dengan lagu tema Pilihlah Aku untuk sebuah program mengenai cinta di radio Singapura bertajuk Babes Dudes pada 2006.

Shariff berkata, mereka mempunyai ramai rakan di Malaysia yang banyak membantu mencari dan bertukar pendapat mengenai perkembangan muzik baru rap. Antaranya, belajar cara ‘telo’ sebutan daripada Altimet yang sering membawa mereka ke Astro memperkenalkan lagu beliau.
“Kami juga kagum dengan

Joe Flizzow yang dianggap memiliki keunikan dalam ‘business sense’. Selain itu, kreativiti dimiliki deejay Malaysia lain seperti DJ Fuzz serta DJ Uno Pop Shuvit dan deejay Perancis, David Guetta mempengaruhi gaya SleeQ.

“Apa yang kami harap dapat terus bekerjasama mempopularkan rap dan muzik tarian di seluruh rantau Asia,” katanya.

Mereka berdua kini sedang mengikuti kursus khidmat nasional selama dua tahun di Singapura dan tinggal lima bulan lagi untuk menggalas tanggungjawab itu.

“Kami berharap dapat menjayakan persembahan dengan lebih rancak selepas ini di mana saja diundang,” katanya.

 

Source: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *