Orang Muda Jadi Pilihan

Posted on Posted in Berita

 

Sesaat Kau Datang taruhan terbaru Ramlah Ram

DUA puluh lima tahun bergelar insan seni pastinya detik yang terindah bagi penyanyi bersuara lantang, Ramlah Ram, apabila dia masih mampu bertahan sehingga kini, berkat doa dan sokongan tidak putus-putus peminat setianya.

Selepas menyepi beberapa tahun pada awal alaf baru lalu, Ramlah kembali meledak dengan single berjudul Maharaja, diikuti lagu ciptaan Azlan Abu Hassan, Ketentuan pada penghujung 2007. Bermula dengan kejayaan Anugerah Lagu Terbaik pada Pertandingan Hits 1 terbitan RTM pada 2008 dan seterusnya melangkah ke final Anugerah Juara Lagu 22 pada 2009 dengan lagu Dirgahayu, satu persatu kerjaya seni anak kelahiran Muar, Johor ini dilakarkan.

Lebih manis, apabila penat lelahnya selama 25 tahun bergelumang dalam bidang seni dikongsi bersama dengan peminat setia menerusi konsert sulung pada Malam Gala 25 Tahun penyanyi itu, Oktober tahun lalu.

Karier seninya juga makin menyerlah dengan single pertama terbitan kelab peminatnya, Ramlah Ram Group (RRG) dan syarikat rakaman FMC iaitu Cinta Gila yang pertama kali diperdengarkan pada konsert itu. Lagu itu kemudian mula meniti carta lagu stesen radio dan menjadi juara, antaranya di Carta Radio Muzik, selama empat minggu.

Walaupun disambut dingin sesetengah stesen radio swasta, lagu Cinta Gila ternyata mengubah corak kerjaya seni pemenang Anugerah Juara Lagu 1988 ini apabila lagu berkonsepkan pop rock itu tetap diterima ramai, malah berjaya kekal lebih 10 minggu dalam carta Muzik Muzik TV3. Kejayaan Cinta Gila juga memberikan semangat buat Ramlah untuk terus mengorak langkah dengan single seterusnya berjudul Benar Mencintai, gandingannya bersama kumpulan Awanband. Single itu kini rancak diputarkan di radio seluruh Malaysia.

Semua ini adalah hasil kerjasama pihak RRG yang mahu melihat pembaharuan dilakukan penyanyi kesayangan mereka. Bahkan belum pernah dalam sejarah dunia muzik Malaysia kelab peminat artis tampil menerbitkan album artis kesayangan mereka sendiri dan inilah yang sedang dilakukan RRG untuk kembali melihat penyanyi bersuara emas ini berada pada tahap yang lebih membanggakan.

Menyentuh mengenai perkembangan terkininya, Ramlah memberitahu, dia baru saja selesai merakamkan single ketiga berjudul Sesaat Kau Datang yang bakal diperdengarkan kepada umum sedikit masa lagi.

Mengakui proses rakaman album terbarunya kali ini amat istimewa kerana selain muncul album kerjasama antara RRG dan FMC, album kali ini juga bakal menampilkan sisi lain naskhah seninya iaitu bekerjasama dengan ramai bakat muda yang belum pernah dilakukannya sebelum ini.

Mengenai single Sesaat Kau Datang yang diilhamkan daripada komposer baru, ID Mifzal, dan lirik ditulis oleh Zie Shafuddin, manakala susunan muziknya hasil gubahan komposer sedang meningkat naik, Ady 6ixth Sense. Menurut penciptanya, lagu ini juga sememangnya dicipta untuk dinyanyikan secara duet oleh penyanyi baru dan lama. Berkonsepkan muzik pop terkini, Ramlah turut melangkah setapak lagi dengan bekerjasama dengan kumpulan duo rap popular dari Singapura iaitu Sleeq.

Lagu ini mengangkat tema kekecewaan dalam percintaan atau perkahwinan, dan dalam masa yang sama terpaksa melepaskan orang tersayang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Mungkin akan ada yang beranggapan ia ada kena-mengena dengan kehidupan peribadi Ramlah sendiri selepas lagu Ketentuan yang dikatakan menggambarkan keruntuhan rumah tangganya, namun segala-galanya adalah kebetulan kerana sesebuah lirik yang dihasilkan biasanya ilham atau pengalaman penulis itu sendiri.

Bercerita lanjut mengenai single terbaru ini Ramlah memberitahu, lagu itu dirakamkan di studio NAR, Kuala Lumpur dan di sebuah studio di Singapura pada Jun lalu. Ia satu pengalaman berharga buatnya kerana dapat bekerjasama dengan bakat muda yang berkebolehan seperti Mifzal (pencipta), Ady selaku penerbit susunan muzik dan Faris Awanband selaku penjaga vokalnya dalam membantu menyelesaikan proses rakaman.

Menurut Ramlah lagi, walaupun masih mengekalkan konsep pop yang selama ini menjadi ‘makanannya’, tetapi lagu Sesaat Kau Datang lebih cenderung kepada rentak muzik nusantara yang digarap dengan elemen orkestra ala lagu balada dari Korea.

Terharu bakat dipercayai

MANAKALA Syarif dari Sleeq pula memberitahu, dia dan Ariff amat berbesar hati dan berbangga kerana dapat bekerjasama bersama Ratu Pop bernada tinggi ini. Dia menganggap peluang berpadu suara bersama Ramlah satu pengalaman begitu berharga dan berterima kasih kepada RRG dan Ramlah sendiri kerana percaya dengan bakat mereka berdua.

Walaupun proses rakaman dibuat di dua studio berlainan, namun ia tidak memberikan apa-apa masalah untuk berkomunikasi dalam menjayakan proses rakaman.

Ramlah menganggap lagu ini hadiah istimewa kepada semua peminatnya yang masih setia menyokongnya dari dulu hinggalah kepada peminat generasi baru yang mula mengenalinya melalui Ketentuan.

Jika tiada aral, album penuh penyanyi ini akan menyusul pada penghujung tahun ini, yang juga akan menampilkan sebuah lagu balada berkonsepkan ketuhanan berjudul Sejadah Cinta. Ia akan dirakamkan tidak lama lagi. Selain lagu yang diberikan peminatnya yang juga ahli RRG, Ramlah juga akan bekerjasama dengan beberapa komposer terkenal tanah air untuk projek album terbarunya nanti.

Segala informasi mengenai Ramlah boleh dilayari menerusi laman web rasminya iaitu www.ramlahram.com. Bagi peminat yang ingin turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan oleh RRG pula, bolehlah menyertai akaun Facebook carian Ramlah Ram Group.

Source: Berita Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *