Berita

Ramlah Ram dipinggirkan!

Memang tak pernah dapat peluang langsung ke buat konsert solo besar-besaran?

Memang saya tak pernah dapat peluang. Saya pun tak tahu kenapa. Mungkin juga dulu saya diuruskan oleh syarikat rakaman dan waktu itu tak terfikir nak buat konsert. Padahal kalau buat konsert mungkin senang dapat penaja kerana nama tengah ada pada masa itu.

Tak teringin ke buat konsert solo di Istana Budaya atau Dewan Filharmonik?

Siapa yang tak nak, mestilah nak. Tapi tak mengapa, konsert pertama ni merupakan langkah permulaan kepada konsert solo yang lebih besar. Insya-Allah, kalau ada rezeki nanti.

Sheila Majid sambut ulang tahun ke-25 dalam industri muzik dapat buat konsert kat Dewan Filharmonik, cemburu tak?

Baguslah kalau ada orang nak taja konsert Sheila. Itu rezeki dia. Buat apa nak terkilan. Saya tak suka dengki dengan artis lain. Rezeki masing-masinglah.

Mungkin penaja susah nak taja Ramlah pasal imej kampung kuat sangat kot?

Tak tahulah saya, siapa yang melabel saya macam tu dan atas apa penilaian itu dibuat? Yang penting, sambutan peminat saya tidak pernah putus-putus sampai hari ini. Saya pun dah berjaya buktikan dapat bertahan sampai 25 tahun dan ada juga menang anugerah. Sebenarnya semua artis di Malaysia ni tak banyak, sikit mesti ada nilai imej kampung. Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi pun lagu dia orang ada unsur-unsur kemelayuan. Bidang muzik ni mana ada imej kampung dan orang sahaja yang menilainya.

Maksud saya, Ramlah tak cakap bahasa Inggeris dan tak seksi sangat, tak tayang lengan dan dada serta pakai skirt pendek. Tak nampak ciri-ciri antarabangsa kononnya, tu yang penaja tak nak?

Mungkin juga. Tapi terserahlah kepada para penaja. Saya hanya hendak menjadi diri sendiri dan tak nak tiru siapa-siapa. Kalau tak, takkan saya boleh bertahan sampai 25 tahun. Saya tetap bersyukur walaupun dapat buat konsert pertama di hotel je.

Sepanjang minggu ni ada dua konsert antarabangsa, Maher Zain dan Adam Lambert di Kuala Lumpur. Senang sangat artis luar buat konsert di sini, setuju tak?

Itulah, kalau artis tempatan macam-macam alasan beri takut tiket tak boleh jual. Tapi orang luar boleh pula taja, dah tu buat promosi besar-besaran. Biarkanlah. Saya tak marah, saya tak cemburu. Saya faham sikap manusia ni banyak kerenah.

Sepanjang 25 tahun dalam industri tanah air, ada tak rasa dianaktirikan?

Dianaktiri oleh siapa? Konsert solo pertama saya ni pun dibuat oleh peminat dan syarikat rakaman. Habis tu nak salahkan siapa lagi? Saya sebenar perlu bersyukur kerana ramai artis yang sezaman saya dah senyap, tapi saya masih aktif menyanyi lagi.Hidup ni kena banyak bersyukur, tak boleh asyik nak komplen saja.

Soalan akhir ni, masalah rumah tangga dengan Kamal dah selesai ke?

Kami dah sah bercerai pada Mei lalu. Walaupun tidak berhubung, tapi kami tak gaduh cuma sibuk dengan kerja masing-masing. Lagi pun tak ada benda yang perlu hingga nak berhubung setiap hari.

Dah jumpa pengganti Kamal?

Saya tak terfikir pun sampai ke situ (ketawa). Seluruh hidup saya ini kini hanya untuk kerjaya seni saja. Tapi jodoh semua di tangan Tuhan. Nanti saya cakap lebih-lebih, tiba-tiba jodoh datang cepat pulak. Tak boleh cakap juga tu…

Source: Pancaindera Mingguan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.