Album Review

Review Album Ketentuan by Zulhusni Abdul Hamid


Ramlah Cuba Bangkit Semula

Ramlah Ram adalah antara penyanyi senior yang berani membawa pembaharuan dalam penyampaiannya supaya kekal relevan dalam industri muzik. Selepas menyepi tanpa sebarang album hampir 11 tahun, Ramlah terpaksa bekerja keras untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan serta evolusi yang menerjah pasaran muzik.

Tuntutan itu cukup berat, apatah lagi nama Ramlah Ram selama ini begitu sinonim dengan sentuhan komposer veteran berwibawa yang menerimal gelaran Seniman Negara, Datuk Dr Ahmad Nawab.

Jalinan kolaborasi mereka berdua begitu sebati dalam industri muzik, bahkan menghadirkan beberapa sentuhan malar segar yang hingga tidak pernah jemu dinikmati.

Jujurnya bukan perkara mudah untuk membawa penyanyi kelahiran Kesang, Muar Johor ini keluar daripada ruang selesa yang diciptanya bersama Ahmad Nawab.

Bagaimanapun, Ramlah mengambil cabaran itu dengan mendapatkan khidmat komposer popular seperti Azlan Abu Hassan, Aidit Alfian, Fauzi Marzuki, Eddie Hamid, Hazami, Tam Spider dan Sharon Paul.

‘Ketentuan’ ciptaan Azlan memperlihat penerimaan peminat terhadap pembaharuan yang cuba dibawakan Ramlah apabila meraih pencapaian cemerlang dalam beberapa pertandingan. Memiliki pilihan untuk terus mencuba sesuatu yang berbeza seiring dengan kehendak pasaran semasa, Ramlah bagaimanapun masih mengekalkan pop komersial yang menjadi identitinya.

‘Ketentuan’ masih mempertahankan identiti Ramlah yang terkenal dengan sentuhan berat yang menguji kelantangan vokalnya. Selain itu, suntikan irama tradisional turut membantu menyegarkan semula ingatan peminat terhadap kredibiliti Ramlah yang terkenal dengan lagu etnik kreatif.

Mungkin bukan produksi yang terbaik tetapi album ini padat dengan lagu-lagu menarik serta menyerlahkan kelantangan vokal Ramlah yang tidak terhakis oleh masa.

Andainya selama ini peminat sudah menikmati ‘Ketentuan’ dan ‘Dirgahayu’, lagu-lagu seperti ‘Radang Rindu’, ‘Langit Cinta’ dan ‘Cinta Beralah’ dijangka mempertahankan populariti penyanyi yang mengukir nama selepas menjuarai Bintang RTM 1985 ini.

Source: Berita Harian

One thought on “Review Album Ketentuan by Zulhusni Abdul Hamid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.