Aktiviti RRGBeritaHighlights

RRG Bukti Cinta Peminat Ramlah Ram

AJK RRG bersama Ramlah Ram bersedia untuk memotong kek sempena sambutan ulang tahun Ramlah Ram Group (RRG) yang ke-3

KUALA LUMPUR, 30 OKTOBER 2009: Bertuah sungguh penyanyi Ramlah Ram kerana mempunyai sekumpulan peminat setia yang sentiasa bersikap prihatin terhadap segala perkembangan yang berkaitan dengan diri serta aktiviti seni suaranya.

Dengan usaha dan kerja keras mereka inilah, akhirnya tertubuhnya kelab peminat yang dinamakan Ramlah Ram Group (RRG). Dikendalikan ahli jawatan kuasa (AJK) induk seramai 7 orang, diam tak diam, sudah 3 tahun RRG ditubuhkan.

Ramlah Ram bersama AJK RRG meniup lilin kek ulang tahun ke-3.

Sepanjang penubuhan selama 3 tahun itu, sudah bermacam-macam aktiviti yang dianjurkan RRG termasuklah mengadakan Rumah Raya Terbuka bersama Ramlah Ram di sekitar kawasan Alam Damai, baru-baru ini.

Presiden RRG, Suzaimi Soaib, sewaktu diwawancara berkata, walaupun setiap AJK induk ini mempunyai pekerjaan tetap masing-masing, namun komitmen yang ditunjukkan mereka terhadap RRG memang langsung tidak berbelah bagi.

“Dalam program Rumah Raya Terbuka bersama Ramlah Ram itu misalnya, kita telah usahakan segala-galanya menggunakan tenaga serta kudrat kita sendiri. Malah, kita sendiri yang keluarkan duit untuk menganjurkan rumah terbuka ini.

“Alhamdulillah berkat usaha beramai-ramai, kita telah berjaya mengumpulkan wang sebanyak RM3,000 sehingga RM4,000. Sumbangan wang sebanyak ini telah dilakukan dengan seikhlas hati.

“Semua ini kami lakukan atas dasar pengorbanan kami buat Ramlah dan rasa kasih dan sayang kami yang tidak berbelah bagi terhadap dirinya. Apa yang lebih penting, bila adanya program yang seperti ini, ia dapat menarik lebih banyak lagi peminat di luar sana untuk mendekati Ramlah.

“Ternyata usaha yang kami lakukan ini tidak sia-sia kerana banyak peminat yang telah datang dan banyak respon positif yang telah kami terima. Kebanyakan meminta supaya aktiviti seperti ini dilakukan lagi pada masa akan datang. Tidak kurang juga yang berminat untuk menyertai RRG.

“Setakat ini, menerusi aktiviti yang telah dijalankan selama 3 tahun, kami telah berjaya mengumpulkan sebanyak 300-400 peminat di seluruh Malaysia termasuklah di Singapura sendiri. Kami harap angka ini akan terus bertambah lagi dari masa ke semasa,” katanya.

Ramlah cukup hargai peminatnya
Jelas Suzaimi lagi, kejayaan RRG menempa nama dalam waktu yang cukup singkat di dalam industri hiburan membuatkan ramai yang angkat topi serta kagum dengan usaha mereka itu.

“Mungkin semua ini adalah penglibatan kami yang sentiasa mengikut Ramlah ke mana-mana saja. Sampaikan orang ingat dan kenal RRG termasuklah dari kalangan pihak media dan selebriti ini. Sokongan yang mereka berikan terhadap RRG juga cukup baik sekali.

“Tapi, semua ini tidak akan menjadi kalau tiadanya sokongan dan kerjasama daripada Ramlah sendiri. Dia seorang penyanyi yang cukup baik, sporting dan tidak pernah berkira dengan peminat.

Ramlah menerima cenderahati dari RRG dari Timbalan Presiden RRG, Fairozee.
Ramlah menerima cenderahati dari RRG dari Timbalan Presiden RRG, Fairozee


“Kalau kita buat apa-apa aktiviti, dia akan turut serta. Malah, datang dengan persiapannya sendiri. Dia juga rela hati menghiburkan peminatnya. Walaupun kadangkala didera untuk menyanyi, dia tetap buat.

“Semua itu tidak mengecewakan dan dia sentiasa buat dengan kerelaan hatinya sendiri. Sebab itulah kami semua sayangkan dia. Dia juga seorang yang merendah diri. Patutnya, dengan taraf dan statusnya itu, dia sudah ada tahap divanya sendiri.

“Apapun untuk mengenang segala pencapaian serta jasa dan sumbanngan sebagai salah seorang penyanyi wanita yang cukup disegani di Malaysia , kami telah membuatkan facebook, myspace, laman web untuknya.

“Malah, kami juga sentiasa meletakkan klip video lagunya di dalam YouTube. Kami buat semua ini supaya orang sentiasa ingat dia dan lagu-lagu nyanyiannya. Malah, kami juga mahu dia sentiasa diingati sampai bila-bila,” katanya.

Dalam pada itu, Ramlah pula berkata, dia memang cukup terharu dengan pengorbanan yang dibuat RRG untuk dirinya.

“Semua aktiviti mereka lakukan untuk saya. Saya sendiri tidak sangka sampai begitu sekali cara mereka menunjukkan minat dan penghargaan terhadap penyanyi seperti saya ini.

“Tapi, mungkin itulah kesan dan impaknya bila mereka ini membesar dengan lagu-lagu nyanyian saya. Adakalanya, saya sendiri tidak ingat lagu-lagu yang saya nyanyikan dan mereka pula yang lebih tahu serta turut menghafalnya.

Ramlah menghiburkan para tetamu yang hadir bersama peminatnya.

“Apapun, saya gembira bila dapat menjayakan aktiviti seperti ini. Apa yang kita lakukan ini bukan untuk orang lain tapi peminat kita sendiri sebab kalau tiada peminat, tiadalah seseorang artis itu,” katanya.

Jika tiada aral melintang, RRG kini dalam perancangan untuk meraikan 25 tahun Jubli Perak pembabitannya di dalam bidang seni suara pada tahun depan dan ia akan turut diadakan pada hari ulang tahun kelahirannya nanti.

Suara Ramlah Ram yang tetap unggul dan lantang ketika menyampaikan lagu Ketentuan secara live.

Source: Murai.com.my

One thought on “RRG Bukti Cinta Peminat Ramlah Ram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.