Berita

Lara kasih Ramlah

SEBELUM ini hampir saban tahun ada sahaja berita kononnya rumah tangga penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Ramlah Ram bergolak.

Itu semua gara-gara khabar angin yang mengatakan Ramlah dan suaminya yang bekerja sebagai Penerbit Sukan di RTM, Kamal Roslim, tidak lagi tinggal sebumbung dan Ramlah ketika itu menafikan sekeras-keras bahawa rumah tangga yang dibina sedang dilanda badai.

Namun dalam masa yang sama, Ramlah tidak pula menafikan khabar angin yang mereka tidak tinggal sebumbung atas alasan kesibukan kerja menyebabkan suaminya jarang-jarang ada di rumah.

Itu cerita beberapa tahun dahulu. Bagaimanapun rahsia yang cuba disimpan selama ini akhirnya terbongkar ketika majlis sidang akhbar sempena Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram di Bangsar pada 15 Jun lalu apabila Ramlah mengakui dia telah memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam pada Mei lalu.

Meskipun begitu, berat untuknya membogelkan masalah rumah tangga bersama suami yang dinikahinya pada 3 November 2000 itu di hadapan pihak media.

Hanya meluahkan apa yang dirasa perlu, Ramlah tidak mahu berita rumah tangganya disensasikan sekali gus menutup segala fokus untuk Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram yang bakal berlangsung di Hotel Impiana KLCC pada 9 Oktober depan.

Kosmo!: Bilakah Ramlah menghantar permohonan cerai dan status Ramlah sekarang?
RAMLAH RAM: Saya baru failkan permohonan cerai sekitar Mei lalu, sekarang belum ada sebarang keputusan rasmi dan kini saya masih isteri kepada Kamal cuma kami sudah tidak tinggal sebumbung. Apa-apa boleh terjadi sama ada kami kekal menjadi suami isteri ataupun tidak. Bila sudah ada keputusan rasmi saya berjanji akan beritahu, saya tidak akan sorok status saya. Mahu cerita lebih-lebih pun tidak boleh kerana ia masih dalam proses.

Mengapa baru sekarang mahu bercerai?
Saya sayangkan ikatan perkahwinan yang saya bina selama 10 tahun. Jadi saya perlukan masa yang lama untuk berfikir mana yang terbaik untuk saya dan suami. Sebagai isteri saya cuba pertahankan perkahwinan ini, kami juga telah pergi sesi kaunseling tetapi saya tidak nampak jalan penyelesaiannya selain berpisah. Keputusan untuk bercerai adalah keputusan kami bersama setelah beberapa perbincangan.

Apakah punca utama masalah dalam rumah tangga Ramlah?
Rasanya tidak elok saya menceritakan masalah peribadi saya kerana saya tidak mahu mengaibkan orang. Banyak hati yang perlu saya jaga. Walaupun saya mengambil keputusan untuk berpisah tetapi Kamal adalah suami saya untuk 10 tahun. Saya harap semua pihak menghormati ruang privasi dan maruah saya sebagai seorang wanita. Tetapi masalah kami tidak ada kena mengena dengan orang ketiga cuma sudah tiada persefahaman lagi.

Bagaimana hubungan Ramlah dengan suami sekarang?
Kami masih baik dan kekal sebagai kawan. Saya juga amat berharap hubungan baik kami akan berkekalan andai kami berpisah selepas ini.

Impak penceraian terhadap kerjaya dan kehidupan Ramlah?
Kerja saya masih berjalan seperti biasa, tidak ada bezanya mungkin kerana saya sudah biasa berdikari. Bagi saya apa jua masalah yang melanda kehidupan masih perlu diteruskan.

Macam mana pula dengan hati Ramlah menerima semua dugaan ini?
Sedih. Siapa yang tidak sedih bila penceraian berlaku. Sebagai wanita apabila saya berkahwin saya tidak pernah terfikir yang saya akan bercerai. Apa yang saya fikir perkahwinan adalah sekali seumur hidup tetapi jodoh terletak di tangan Tuhan, saya harus reda.

Sudah terfikir untuk mencari pengganti?
Tidaklah, saya sekarang fokus pada kerja dan Malam Gala 25 Tahun yang akan diadakan pada Oktober depan.

Apa signifikan Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram?
Sebenarnya malam gala itu dianjurkan oleh kelab peminat saya iaitu Ramlah Ram Group (RRG). Jadi ia sangat istimewa buat saya dan peminat kerana belum pernah ada kelab peminat yang menganjurkan majlis besar-besaran umpama konsert buat artis kesayangan mereka, saya kira sangat bertuah mempunyai peminat seperti mereka. Majlis itu juga adalah ruang interaksi antara saya dan peminat sebab itu tempat yang disediakan tidak banyak, hanya 26 buah meja dan 260 buah kerusi sahaja.

Ini merupakan majlis terbesar Ramlah Ram yang pertama selepas 25 tahun bergelar penyanyi. Kecewa tidak berkesempatan mengadakan satu konsert besar seperti penyanyi lain?
Kecewa dan terkilan. Perasaan itu memang tidak dapat saya nafikan kerana sebagai seorang penyanyi, saya terkilan kerana tidak dapat menghiburkan semua peminat saya dalam sebuah konsert dan majlis yang besar. Bukan tidak mencuba sebelum ini tetapi untuk mengadakan sebuah konsert dan majlis besar ia perlu kerja berpasukan kerana saya tidak boleh lakukannya seorang diri. Walaupun tidak dapat buat konsert, hanya ini yang mampu saya beri kepada peminat.

Jika Malam Gala 25 Tahun mendapat sambutan, ada cadangan untuk melakukan sebuah konsert?
Ini hanya percubaan, kita lihat sambutannya bagaimana. Kalau okey, tidak mustahil pihak RRG akan adakan majlis yang lebih besar di lokasi-lokasi lain pula.

Oleh: HARYATI KARIM
Source: kosmo.com.my

2 thoughts on “Lara kasih Ramlah

  1. Assalamualaikom warahmatullahi wabarakatuh.Cik Ramlah Ram.Penyanyi pujaan saya,sejak mula anda bergelar sa-orang penyanyi hingga lah di saat ini.sa benar-nya saya sa-orang penggemar anda dan saya tahu kesemua kesah tentang diri anda. tak kesah lah apa orang nak kata tentang anda, tapi saya maseh 100% menyukai dan meminati anda.suara anda sunggoh LUAR BIASA.penampilan anda sunggoh MENGANCHAM…sejak akhir2 ini anda tersangat lah bergetah..kadang2 saya semacham tak perchaya, ada kah ini Ramlah Ram..dan di-kesempatan yg sunggoh terhad ini,izin kan saya menguchapkan tahniah dan shabas kpd anda…bak kata perpatah..SEGALA PELEHAN DAN KEPUTUSAN KITA,ADA LAH YANG PALING TERBAIK.saya atas nama peribadi,ingin menghadiah kan sekalong bungga tanda kaseh kpd anda.insaallah jika saya ada kesempatan saya akan datang dan menunton malam gala..sekali gus dapat lah saya bersua dengan penyanyi pujaan hati. akhir kata sambut lah salam sayang dari saya..dan hati2 di-dalam hidup ini.dari pengemar mu ,Nasir Abdullah. Singapura.

  2. salam.k.ramlah.saya peminat setia akk….saya minat sgt2 kat akk..suara akk sgt merdu.bagi saya akk the bst..mg akk tabah hadapi dugaan.doa saya mga akk brtmbh sukses.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.