Berita

Saya Masih Isterinya

PANTAS saja dia memberikan jawapan setiap kali ditanya mengenai status perkahwinannya. Barangkali sudah terbiasa atau sudah naik mual agaknya dengan keadaan itu menyebabkan Ramlah Ram, 43, segera mematikan pertanyaan mereka yang ingin mengetahui kisah rumah tangganya yang dikatakan sudah berakhir.

Menurut Ramlah, rumah tangga yang dibina bersama Kamal Roslim, bahagia dan masih bertahan. Usia perkahwinan mereka genap sembilan tahun pada 3 November lalu.

“Syukur saya masih isterinya sehingga kini. Tidak sangka tahun ini genap sembilan tahun kami mendirikan rumah tangga. Sama seperti pasangan lain, terkadang berlaku juga perselisihan faham, namun saya mahupun Kamal lebih suka menyelesaikan sesuatu masalah secara baik dan diplomasi.

“Saya tidak mahu cakap besar atau mengatakan yang kami sangat bahagia kerana soal jodoh kita tidak tahu sampai bila. Adakalanya kita melihat pasangan itu sangat bahagia tiba-tiba bercerai. Saya tidak berani meramal sampai bila jodoh kami.

“Hanya yang mampu saya lakukan ialah berdoa ke hadrat Ilahi supaya ia berkekalan sehingga ke akhir hayat. Saya juga tidak akan berahsia jika satu hari nanti status saya sebagai isteri boleh dipertikaikan,” katanya.

Ramlah berkata, dia sedar kisah rumah tangganya menjadi bahan perbualan kerana jarang kelihatan bersama suami pada sebarang keramaian seperti majlis anugerah.

Memperkuatkan lagi telahan umum yang mereka sudah berpisah ialah apabila Ramlah dilaporkan tinggal bersendirian di kediamannya di Shah Alam, Selangor.

“Kami berdua terlalu sibuk. Suami saya sering ke luar negara dan apabila tiba di Kuala Lumpur dia tidak larat pulang ke Shah Alam. Jadi dia terus balik ke rumahnya di Pantai Hill Park, Bangsar.

“Saya tidak kisah kerana sudah faham, yang penting saya tahu apa dia buat. Dalam hidup berumah tangga kepercayaan itu penting kerana itulah yang membuatkan pasangan dapat bertahan lama.

“Kami suami isteri juga tidak suka ambil pusing cakap orang kerana apabila kami bersama tidak ada pula yang bercakap perkara baik,” katanya.

Penyanyi yang berasal dari Kesang, Muar, Johor ini ditemui di Red Box Ria Sogo baru-baru ini apabila melancarkan cakera padat (CD) dan video cakera padat (VCD) MTV karaoke Ketentuan.

Lagu dan klip video yang turut terkandung dalam CD dan VCD itu, Ketentuan, Aku Dengan Dunia, Langit Cinta, Cinta Beralah, Pasti, Kasih Yang Dulu, Kasih Yang Terakhir, Dirgahayu, Bersimpuh Di Pintu Hati dan Radang Rindu.

Lapan lagu yang dimuatkan dalam VCD karaoke itu menjalani proses pembikinan klip video di Pulau Pangkor, Perak dan mendapat tajaan penginapan dari Mizam Resort Telok Nipah, Pulau Pangkor.

Sementara, dua lagi lagu dilakukan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Universiti Putra Malaysia.

“Saya bertuah kerana masih berpeluang menghasilkan album dan diterima peminat. VCD karaoke ini saya dedikasikan buat peminat yang meminati lagu saya yang terkandung dalam album ini.

Ramlah menambah, pada 18 Februari depan dia bakal menyambut ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam arena seni suara. Sempena meraikan acara jubli perak pembabitan dalam seni, Ramlah merancang majlis istimewa untuk peminat.

Source: Harian Metro

2 thoughts on “Saya Masih Isterinya

  1. sebagai artis, memang sudah menjadi perhatian orang ramai..ada yang nak tengok dia jatuh, ada yang nak tengok dia berjaya… semua berita kehidupan bermula dari kariernya sehinggalah maklumat peribadi mereka sedikit demi sedikit diketengahkan oleh para pemberita dan penulis. semua ini memainkan peranan penting dalam kejayaan dan kegagalan seorang artis,… namun sebagai peminat yang berfikiran luas, terbuka dan cenderung untuk menilai baik buruk, saya berpendapat, sekiranya artis itu cemerlang dari segi kariernya, buat apa nak sibuk dengan hal peribadi beliau… jadilah peminat yang berpemikiran positif dan minda yang bersih!

    WASSALAM!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.