Berita

Terima Ketentuan

LARA di hati wanita ini tiada siapa dapat mengagak. Ibarat pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Entah apa yang bermain di benak fikirannya, bagaimana luluh jiwa ketika ini, namun penyanyi terkenal yang juga juara Bintang RTM 1985, Ramlah Ram tegar melemparkan senyuman meskipun bahtera rumah tangga yang dilayari hampir 10 tahun bagai retak menanti belah.

Bagaimanapun, pelantun melodi berbisa Kau Kunci Cintaku, Selamat Jalan Romeo dan Zapin Yang Tinggal ini menyifatkan keputusannya adalah jalan terbaik.

Rentetan kisah duka wanita berusia 45 tahun ini mula mengetuk perhatian peminat industri seni apabila dia hadir ke Mahkamah Syariah Shah Alam bersama bekas suaminya, Kamal Roslim yang juga petugas Bahagian Sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi memfail permohonan perceraian selepas gagal membaiki badai yang datang.

Majlis Sidang Media Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram baru-baru ini membuka ruang kepada penyanyi ini untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.

Walaupun ditembak berkali-kali oleh media di depannya, Ramlah bijak menyusun bicara, mengawal emosi dan berkali-kali mengukir senyum, menyembunyikan apa yang perlu.

“Tidak langsung saya berniat mengelak atau melarikan diri daripada menjawab persoalan mengenai masalah rumah tangga ketika ini, sebaliknya saya tidak mahu ada spekulasi lain kerana semuanya dalam proses mahkamah. Cukup dengan pengakuan yang saya sudah memfailkan perceraian itu.

“Saya merayu perkara ini tidak diperbesarkan kerana apa lebih penting adalah Malam Gala yang akan berlangsung tidak lama lagi. Bagaimanapun, saya berjanji akan bersemuka dengan media untuk mendedahkan apa yang perlu jika proses ini selesai nanti,” katanya yang mengakui tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan.

Penat juga memusing soalan dan menggunakan pelbagai teknik bagi penyanyi yang masih jelita ini membuka cerita.

Bagaimanapun, Ramlah masih enggan memberi kenyataan berhubung punca keretakan mahligai miliknya selain menafikan kehadiran orang ketiga sebagai alasan.

“Ini cara terbaik untuk kami berdua walaupun ia pedih ditelan dan saya gagal melihat alternatif lain yang mampu menyelamatkan rumah tangga ini. “Justeru, kami berdua berbincang secara baik dan mengambil keputusan yang tidak mengecewakan mana-mana pihak.

“Apa boleh saya simpulkan, keputusan untuk berpisah adalah kata sepakat dan tidak timbul sebarang pergaduhan atau bermasam muka.

“Bohong jika saya tidak sedih atas apa yang berlaku. Sungguh, saya sangat sayangkan perkahwinan ini dan cuba memperbaikinya sebelum mengambil keputusan untuk berpisah. “Namun saya perlu akur dengan takdir yang tertulis buat saya. Mungkin jodoh serta persefahaman antara kami sudah tiada lagi.

“Saya tidak mahu bercerita panjang atau memburukkan mana-mana pihak, terutama Kamal, kerana dia pernah mengahwini saya dan hampir 10 tahun bertakhta di jiwa.

“Mustahil kerana dugaan ini, hubungan kami akan tercalar kerana saya masih boleh berkawan dengannya jika perceraian ini sah di mahkamah kelak,” katanya yang mengakui pernah menghadiri sesi kaunseling bersama sebelum ini.

Matanya berair menahan sebak, namun kuat semangatnya untuk tidak terus rebah. Malah Ramlah sempat menyimpulkan titik noktah dalam diari perkahwinannya bagai kekuatan buat dirinya terus berdiri sebagai wanita.

Menyentuh soal kerjayanya yang semakin menampakkan sinar, Ramlah bersyukur kerana peminatnya yang menubuhkan Ramlah Ram Group (RRG) kini berhempas-pulas merealisasikan sebuah persembahan eksklusif sempena meraikan 25 tahun pembabitannya dalam dunia seni suara.

Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram yang bakal berlangsung di Hotel Impiana Kuala Lumpur pada jam 8 malam, 9 Oktober depan, adalah pentas pertama penyanyi yang memiliki 14 album ini.

“Terkilan rasanya kerana walaupun suku abad menjadi penyanyi dan meraih pelbagai pengiktirafan, saya tidak pernah berpeluang mengadakan konsert atau persembahan eksklusif seperti ini.

“Ramai peminat tanya bila agaknya saya akan membuat konsert. Namun saya sedar akan kemelesetan industri yang tidak memberi peluang untuk mengadakan konsert.

“Justeru Malam Gala ini akan mengubat kerinduan peminat yang teringin menyaksikan persembahan daripada saya. Mungkin ini peluang terbaik bagi mendekatkan diri dengan pengikut setia yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya saya.

“Saya akan menyampaikan 25 lagu selain bakal memberi kejutan buat peminat baik aspek konsep persembahan mahupun corak nyanyian.

“Persembahan saya malam itu nanti akan diiringi pemuzik dan saya berjanji akan memberi sesuatu yang istimewa buat peminat,” katanya yang turut mengundang Fauziah Ahmad Daud dan seorang lagi penyanyi bagi memeriahkan lagi majlis eksklusifnya.

Kira-kira 260 boleh menonton persembahan Ramlah itu nanti. Penganjur mula menjual meja serta tiket dengan harga yang berbaloi iaitu RM200 hingga RM300 untuk individu dan RM5,000 ke RM7,000 bagi meja korporat.

Oleh: MURSHID EUNOS
Source: Harian Metro (Ahad)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.