Berita

Kami Sudah Bercerai Mei Lalu – Kamal

DIA bukan lagi isteri saya lagi. Kami tiada jodoh,’’ katanya lelaki bernama Kamal Roslim itu dalam bicara kami Khamis lalu. Satu kenyataan yang cukup mengejutkan kerana dua hari sebelumnya, Ramlah Ram mengumumkan tentang tuntutan cerai yang dibuatnya di Mahkamah Shah Alam pada Mei lalu. Sebaliknya pendedahan Kamal kepada Pancaindera berbeza sama sekali apabila lelaki itu mendakwa bahawa mereka bukan lagi suami isteri semenjak Mei lalu. Meminta Kamal untuk mengulas perkara itu, awalnya dia berkeras tidak mahu. Kata Kamal, dia menolak untuk bercerita kerana semuanya telah diperjelaskan oleh Ramlah sendiri.

‘‘Sungguh, saya tidak pernah mengharapkan kisah rumah tangga saya dijaja atau menjadi bahan bualan dari saat awal perkahwinan sehingga ke hari ini. Tambahan pula, saya sedar asal usul diri ini, hanya orang biasa sahaja. Cuma bertuah kerana beristerikan penyanyi wanita yang cukup terkenal pada tahun 80-an,’’ katanya yang hanya mahu berkongsi cerita ini melalui talian telefon.

Diminta untuk merakamkan gambar terbarunya, penerbit Rancangan Unit Sukan TV di Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu berkeras enggan kerana merasakan tidak perlu berbuat sedemikian.

Katanya, cukuplah publisiti dari media kepadanya sebelum ini dan ia tidak diteruskan lagi.

“Jujurnya saya amat bencikan perpisahan. Acap kali saya berdoa agar rumah tangga kami berkekalan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, tetapi takdir membawa kami kepada perpisahan.

‘‘Bohonglah kalau saya tidak sedih dengan penceraian itu. Ia umpama mimpi ngeri dan berulang kali saya mengatakan pada diri bahawa saya bukan lagi milik dia.

Kamal dan Ramlah bernikah pada 3 November 2000 pada ketika Ramlah berada di singgahsana populariti sebagai artis ternama.

Kenapa bercerai?

Sebenarnya bukan mudah mengajak Kamal membuka mulut bercerita tentang perceraian dirinya dan Ramlah. Justeru lelaki yang cukup dikenali dengan imej pendiam, tidak banyak cakap dan ‘penyimpan’ ini sama sekali tidak akan menjelaskan secara terperinci kenapa dan mengapa mereka berpisah.

Apa yang hanya dijelaskan lelaki berusia 41 tahun ini bahawa dia tidak sesekali menuding jari kepada Ramlah berkaitan hal perceraian itu.

“Saya meletakkan semua kesalahan di atas bahu sendiri, tentang apa sahaja tanggungjawab yang telah terabai buat dia atau apa sahaja.

“Biarlah hanya saya dan dia saja yang tahu kerana sebab musabab itu adalah rahsia rumah tangga kami. Terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum,” beritahunya lagi.

Bagi Kamal, adalah lebih baik sekiranya berfikir untuk mencari kehidupan yang lebih baik selepas kembali solo.

Telan derita sendiri

Diterjah dengan macam-macam spekulasi yang kurang enak didengar termasuklah keupayaannya sebagai suami, Kamal juga tidak peduli dengan kata-kata kejian atau pandangan serong diberikan masyarakat. Bisik hatinya, tanggungan penderitaan di jiwa, biarlah dia seorang yang mengetahui, tidak perlu dikecohkan.

Maka seboleh-bolehnya, dia mahu tunjukkan kepada semua orang keceriaan meskipun terpaksa berbuat sedemikian. Kehidupan mesti diteruskan dan dia tidak boleh terus mengenang kisah lampau.

Pengubat terbaik untuk melupakan seketika permasalahan tersebut adalah menyibukkan diri dengan tugasan harian. Apatah lagi dengan suhu darjah Piala Dunia 2010 yang semakin meningkat memaksanya untuk bekerja lebih masa. Macam-macam program yang diterbitkan untuk unit sukan sejak April lalu setelah diamanahkan sebagai penyelaras program. Kamal perlu memastikan penonton RTM merasai Sorakan 1Malaysia 1Dunia. Apatah lagi selepas RTM menjadi penyiar berlesen untuk acara sukan berprestij tersebut.

‘‘Kini, hidup saya hanya untuk kerja sahaja. Tidak ada yang lain. Kerja adalah kaedah paling berkesan untuk memastikan diri saya tidak berfikir bukan-bukan. Kerja seminggu tujuh hari pun saya rela kerana ini adalah bidang yang paling diminati. Fokus kini tertumpu kepada program Fiesta Sokker Koors yang disiarkan setiap 12.30 malam hingga 1.30 pagi. Ia seperti rancangan hiburan melibatkan artis tempatan tetapi penuh dengan kuiz berkaitan Piala Dunia 2010.

‘‘Saya bertuah kerana mempunyai teman rapat yang banyak memberi sokongan dan semangat kepada saya. Boleh usir sedikit memori sedih saya bukan seketika,’’ katanya.

Ditanya apakah rancangan Kamal selepas ini, dengan nada gembira dia memberitahu tentang tugasan ke Johannesburg, Afrika Selatan pada 29 Jun hingga 14 Julai nanti. Ia merupakan lokasi impian buat peminat tegar Piala Dunia 2010 untuk melawat ke situ.

Apa yang diharapkan Kamal agar dia mendapat ketenangan dan menghidupkan semangat baru sekembali pulang ke tanah air.

Pun dalam masa yang sama, ada doa dihantar untuk wanita bernama Ramlah Ram. Pengharapannya, biarlah wanita yang pernah menghuni hatinya itu terus sukses, dimurahkan rezeki dan dalam keredaan Illahi sentiasa.

Oleh: AMIRAH AMALY SYAFAAT
Source: Utusan Mingguan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.