Berita

Malam Gala 25 Tahun Ramlah, 9 Oktober ini!

KUALA LUMPUR, 19 JUN 2010 : Pejam celik, pejam celik, kini sudah 25 tahun penyanyi Ramlah Ram berkecimpung dalam industri muzik tempatan. Selepas merangkul Juara Bintang RTM 1985, bakat nyanyian wanita bertubu genit ini ternyata masih disegani ramai pihak hingga kini.

Dalam tempoh 25 tahun itu juga, pelbagai kejayaan yang dikecapinya termasuklah meraih Juara dalam Anugerah Juara Lagu 1988 (Kau Kunci Cintaku di Dalam Hatimu), Penyanyi Wanita Popular (Anugerah Bintang Popular 1988), Artis Melayu Pertama menerima Anugerah Platinum Kembar Lima menerusi album Kau Kunci Cintaku di Dalam Hatimu yang terjual melebihi 350,000, Penyanyi Wanita Popular (Anugerah Bintang Popular 1989) dan Pemenang Anugerah ‘Golden Voice’ di Vietnam 1997 semasa mewakili Malaysia ke Pesta lagu Asean.

Seperti artis-artis terkenal lain, tanpa sokongan peminat, Ramlah Ram mungkin tidak berada di tahap sedemikian rupa. Bagi menghargai pengorbanan dan kesetian mereka itu, Ramlah bakal menghadiahkan persembahan istimewa dalam acara makan malam yang diberi nama Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram. Ia akan diadakan di Hotel Impiana, Kuala Lumpur pada 9 Oktober ini, di Hotel Impiana, Kuala Lumpur. Acara yang dijangka berlangsung selama tiga jam bermula 8.30 malam dianjuran Kumpulan Penyokong Ramlah Ram (RRG).

Menurut Ramlah, dalam persembahan yang diiringi live band itu, dia akan menyanyikan kira-kira 25 buah lagu hits yang dipilih daripada koleksi lagu-lagunya sejak menyertai Bintang RTM hingga kini.

Ramlah berkata, malam itu juga menjanjikan persembahan terbaik kepada para peminatnya dengan memastikan susunan muzik adalah berbeza bagi setiap lagu-lagu yang dinyanyikan.

“Ramlah turut akan menyanyikan lagu yang menjadi titik tolak kejayaan saya dalam industri muzik iaitu Hati Sepi Seorang Penyanyi. Lagu tersebutlah yang Ramlah nyanyikan dalam sesi ujibakat Bintang RTM suatu ketika dahulu. Manakala lagu-lagu lain yang bakal dipersembahkan adalah daripada album-album terbaik sejak 1988.

“Bagi Ramlah, majlis itu sangat istimewa. Ia bukan sahaja kerana menyambut ulang tahun ke 25 Ramlah Ram, tetapi kerana ia dianjurkan oleh kelab peminat sendiri, bukan mana-mana syarikat. Dengan adanya kelab inilah Ramlah berasa bersemangat untuk membuat persembahan besar. Tapi Ramlah akui masih berasa bimbang terhadap sambutan peminat pada acara itu,” katanya ketika majlis pengumuman konsert tersebut di Restoran Rebung, Bangsar, baru-baru ini.

Menurut presiden kelab RRG, Suzaimi Soaib pula, kos bagi menganjurkan malam gala itu dianggarkan berjumlah RM100,000. Dia berkata, selain menyaksikan persembahan hebat daripada Ramlah, penonton juga bakal terhibur dengan celoteh Fauziah Ahmad Daud yang dijemput untuk menjadi hos.

“Selain bertindak sebagai pengacara, Kak Ogy turut membuat persembahan pada malam itu. Pemilihan Kak Ogy adalah berdasarkan kesesuaian majlis. Lebih dari itu Kak Ogy juga sangat meminati lagu-lagu Ramlah Ram. Bagi memeriahkan majlis juga, kami juga merancang untuk menjemput artis-artis lain tetapi ia masih lagi dalam peringkat perbincangan,” katanya.

Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram itu menawarkan 26 meja yang terdiri 260 tempat duduk. Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan meja korporat yang dijual pada harga RM5,000 dan RM7,000. Sementara untuk individu pula ia dijual pada harga RM200 dan RM300 bagi setiap kerusi.

Dalam sidang media itu, Ramlah turut melancarkan laman rasminya http://www.ramlahram.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.