Berita

“Jarang tinggal bersama” – Ramlah

SEPULUH tahun lalu, tanggal 3 November 2000 menjadi detik yang cukup membahagiakan hati wanitanya apabila bertukar status sebagai seorang isteri.

Mengahwini lelaki yang dicintai, Kamal Roslim yang bertugas sebagai Penerbit Rancangan, Bahagian Sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan saat yang paling indah buatnya.

Selama menjadi isteri, Ramlah Ram , 45, bagaimanapun, tidak dapat mengelak daripada sering ditanya mengenai perkembangan rumah tangganya.

Ini kerana, amat jarang sekali dia diiringi oleh suaminya khususnya ketika menghadiri acara-acara sosial.

Namun, Ramlah yang dikenali ramai lebih senang memilih untuk tidak bersuara hal-hal yang melibatkan rumah tangga.

Biarpun ramai yang membuat tanggapan perkahwinannya berhadapan dengan pergolakan penyanyi kelahiran Muar, Johor ini cuba bertahan dengan mengatakan keadaan rumah tangganya baik-baik sahaja.

Barangkali, Ramlah sudah tidak mampu lagi untuk menyembunyikan hal sebenar kepada media sehingga dia akhirnya membuka mulut bercerita kebenaran.

Penyanyi lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu itu mengakui, dia sudah memfailkan perceraian baru-baru ini.

Enggan mendedahkan punca sebenar, jelas Ramlah, sebab utama dia berbuat demikian adalah kerana sudah tiada lagi keserasian antara dia dan Kamal selepas hampir 10 tahun hidup sebagai suami isteri.

Ramlah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah, Shah Alam, Selangor pada Mei lalu.

“Sekarang kami dalam proses ke arah itu (bercerai), namun ia masih belum muktamad lagi. Sebab itu saya tidak boleh bercerita lebih kerana saya baru memfailkan dan perceraian belum lagi disahkan.

“Saya pernah berjanji dahulu, jika apa-apa terjadi saya akan bagi tahu. Walaupun saya sayangkan perkahwinan ini dan cuba menyelamatkannya namun, jika sudah rasa tidak boleh lagi bersama saya harus menerimanya,” kata Ramlah cukup tenang merungkai kisah rumah tangganya.

Mengakui bahawa jodoh, pertemuan dan perpisahan di tangan Tuhan, jauh di sudut hatinya, Ramlah mengharapkan rumah tangganya kekal hingga ke akhir hayat.

Baginya, perkahwinan yang dibinanya biarlah sekali seumur hidup apatah lagi tatkala berkahwin dahulu itulah insan yang paling disayangi untuk berkongsi hidup bersama.

Dalam usaha mempertahankan mahligai itu, kata Ramlah, pelbagai usaha termasuk berbincang dan menghadiri sesi kaunseling sudah dilakukan.

Sayang sekali, semua itu tidak boleh menyelamatkan rumah tangganya.

“Saya sayangkan ikatan perkahwinan ini dan kalau boleh biarlah sekali berkahwin dan kekal ke akhir hayat. Selagi boleh dipertahankan memang saya akan pertahankannya.

“Saya berkahwin bukan atas paksaan, sebab itu bila jadi begini saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana mungkin juga diri saya sendiri tidak sempurna.

“Keputusan ini kami ambil atas perbincangan bersama. Jika rasa sudah tidak boleh bersama terpaksalah bercerai,” kata Ramlah dengan tenang.

Text oleh: NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
Source: Utusan Online

2 thoughts on ““Jarang tinggal bersama” – Ramlah

  1. A’kum k.melah,jodoh petemuan…ajal maut allah tentukan.Atas apa yg belaku munkin ada khidmah disebaliknya.Tiada siapa yg mahukan perpisahan dan itu sudah dtadkirkan terimalah dengan hati yg tabah dan redha.Hdup mesti dteruskan n lupakan…pekakan telinga atas cakap2 dluar sana.tq

  2. kak melah tetap insan seni yang tersendiri yang tiada klon sampai kini. Harap kak melah terus diberikan kesihatan yang baik dan suksess dalam kerjaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.