Berita

Ramlah Ram Rasa Terkilan

Dewasa ini, siapa yang tidak kenal dengan penyanyi berbakat besar, Ramlah Ram. Lebih 25 tahun bergelumang dengan dunia seni, penyanyi yang cukup popular dengan lagu “Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi” serta “Selamat Jalan Romeo” itu sememangnya sangat berpengalaman.

Namun di dalam keceriaannya menjalani kehidupan sebagai seorang anak seni, rupa-rupanya masih tersimpul sedikit rasa terkilan kerana cita-citanya untuk menjayakan sebuh konsert khusus buat para peminat masih belum berjaya direalisasikannya sehingga kini.

Apapun itu bukanlah penghalang buat wanita yang dilahirkan pada 19 Februari 1965 itu untuk terus menghambakan diri kepada dunia seni.

Berkat kesabarannya, melalui Ramlah Ram Group (RRG), akhirnya impiannya itu bakal dilaksanakan apabila Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram dibuat khusus buat penyanyi bersuara lantang itu.

Walaupun bukan sebuah konsert seperti yang diidamkan, tetapi sebuah majlis makan malam yang diadakan khusus buat 260 orang para peminatnya di Hotel Impiana pada 9 Oktober ini, umpama mimpi menjadi realiti.

“Memang saya sedikit terkilan kerana setelah sekian lama menyanyi tapi masih belum mampu membuat sebarang konsert. Tetapi saya lebih terkilan kerana peminat telah sekian lama menantikan konsert daripada saya.

“Namun saya tidak salahkan sesiapa. Ini kerana pada zaman saya mencipta nama dahulu, tidak ramai penaja yang berani untuk menaja konsert artis. Penyanyi sekarang sangat beruntung kerana baru sahaja bergelar artis tetapi telah berpeluang untuk mengadakan pelbagai konsert.

“Kini dengan adanya malam gala yang diadakan oleh RGG, ianya sedikit sebanyak mengubat rasa terkilan tersebut. Walaupun malam gala ini bukanlah konsert tetapi sepanjang 25 tahun pembabitan saya di dalam industri seni, bolehlah saya katakan ini adalah persembahan saya yang paling besar.

“Walaupun hanya di buat dalam bentuk majlis makan malam, namun saya harap 260 peminat yang hadir akan berpuas hati dengan kualiti persembahan yang bakal saya tampilkan,” jelas anak anak kelahiran Kesang, Muar itu bersungguh-sungguh.

Perkenalkan diri sebagai ikon
Bercerita tentang konsep persembahan pada malam itu, penyanyi yang mula menyerlah selepas menjuarai pertandingan Bintang RTM 1985 itu memberitahu, dia akan menyanyikan lebih kurang 25 buah lagu secara ‘live’ sambil diiringi oleh kumpulan pemuzik iringan.

Kemunculan pengacara popular Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Kak Ogy juga katanya, bakal menggamatkan lagi malam gala itu. Tambahnya pemilihan Kak Ogy dibuat hasil perbincangan bersama. Apatah lagi Kak Ogy dan Ramlah masing-masing saling mengagumi bakat yang dianugerahkan Allah kepada mereka berdua.

“Pilihan lagu adalah lagu-lagu istimewa yang pernah saya nyanyikan termasuklah lagu yang saya nyanyikan semasa menghadiri uji bakat Bintang RTM 1985 iaitu “Hati Sepi Seorang perempuan” yang pernah dinyanyikan oleh Linda Elizabeth serta lagu yang membawa saya ke puncak kejuaraan Bintang RTM, “Rindu”, nyanyian Hetty Koes Endang.

“Lagu-lagu lain ialah lagu-lagu popular daripada album pertama sehinggalah album terbaru saya. Kini saya ada masa beberapa bulan untuk mempersiapkan diri daripada aspek fizikal dan mental.

“Itu adalah tanggungjawab saya dan saya akan lakukannya sedaya-upaya saya. Saya mahu beri persembahan terbaik kepada semua peminat dan harap mereka akan berpuas hati,” ujar penyanyi yang pernah berguru dengan komposer popular Datuk Ahmad Nawab di awal kemunculannya dahulu.

Jelasnya, objektif malam gala itu diadakan oleh RRG adalah untuk meraikan ulangtahun ke-25 pembabitannya dalam bidang seni serta menghargai kejayaan dan kekuatannya selama 25 tahun memperjuangkan seni muzik. Selain itu, ia bertujuan memperkenalkan Ramlah sebagai ikon terbaik generasi akan datang.

Kepakaran Ramlah menguasai nyanyian seni muzik pelbagai rentak terutama lagu-lagu tradisional seperti ghazal, Melayu asli, zapin, joget, qhasidah dan lain-lain patut dicontohi oleh penyanyi muda masa kini.

“Majlis ini dibuat hanya untuk 260 orang kerana saya mahukan suasana yang lebih intim dan eksklusif dengan peminat. Dengan cara ini peminat yang selama ini hanya melihat saya dari jauh boleh mendekatkan diri mereka dengan saya,” katanya yang sangat berterima kasih kepada RGG yang sentiasa memberikan sokongan kepada kerjaya seninya.

Kepada mereka yang berminat, tiket-tiket telah mula dijual dan segala info berkenaan Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram boleh didapati di www.ramlahram.com.

Source: Gua.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.