Berita

Ramlah Ram Sah Failkan Penceraian

Teka-teki mengenai status penyanyi yang popular dengan lagu “Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu”, Ramlah Ram akhirnya terjawab apabila dia mengakui masih bergelar isteri kepada suaminya, Kamal Roslim, namun telah memfailkan permohonan cerai baru-baru ini.

Ramlah, ketika ditemui di majlis sidang akhbar Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram di Restoran Rebung, Bangsar, kelihatan tenang walaupun enggan  mengulas mengenai perkara tersebut dengan lebih lanjut.

Katanya perkara tersebut masih terlalu awal untuk diperkatakan. Namun berjanji untuk memberitahu kepada pihak media mengenai isu itu apabila sudah tiba masanya.

“Apa yang boleh saya katakan, saya baru sahaja failkan permohonan cerai. Belumpun lagi turun naik mahkamah. Cuma sekarang saya rasa bukan masa yang sesuai untuk memperkatakan tentang isu ini.

“Seperti yang saya perkatakan sebelum ini, saya tidak akan merahsiakan perkara ini daripada pihak media. Cuma belum tiba masanya dan apabila sudah betul-betul berlaku (bercarai), saya akan beritahu,” katanya yang sudah lebih 10 tahun mendirikan rumahtangga.

Ditanya mengenai punca keretakan rumahtangganya, bekas juara Bintang RTM itu enggan berkongsi cerita berkenaan perkara tersebut. Katanya perkara tersebut terlalu peribadi buat dirinya dan berharap pihak media menghormati keputusannya itu. Namun dia berterus-terang menyatakan ianya tidak berkaitan dengan kehadiran insan ketiga atau sebagainya.

“Cukuplah kalau saya katakan, sudah tiada persefahaman antara kami. Di dalam kehidupan berumahtangga, kita memang tidak boleh lari daripada berdepan dengan masalah.

“Namun secara peribadi, saya akan berusaha untuk mempertahankan rumahtangga saya selagi terdaya. Tetapi apabila ianya berakhir dengan penceraian juga, saya serahkan perkara tersebut kepada Allah.

“Maklumlah hal yang berkaitan dengan jodoh, cerai, ajal dan maut hanya Allah sahaja yang tahu. Punca masalah saya juga, biarlah antara kami berdua sahaja yang tahu.

“Tetapi apa sahaja keputusan yang saya ambil, adalah hasil perbincangan kami berdua. Kami rasakan inilah jalan terbaik untuk kami buat masa ini. Apapun ingin saya tegaskan di sini, kami berdua tidak bergaduh dan masih baik seperti dahulu.

“Saya tidak mahu selepas bercerai, kami bergaduh dan memburuk-burukkan antara satu sama lain. Dia merupakan insan yang pernah saya sayang dan perkahwinan kami pun atas dasar suka sama suka. Jadi apabila ianya berakhir begini, saya redha,” jelasnya panjang lebar.

Tidak menyesal
Mengenai kehidupannya kini, penyanyi berusia 45 tahun itu mengakui bahagia dan lebih fokus dengan kerjaya seninya.

Katanya walau apa terjadi, kehidupan perlu diteruskan dan bersyukur kerana mempunyai peminat serta keluarga yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepadanya.

“Setiap keluarga pastinya mengharapkan perkahwinan anak-anak mereka berkekalan. Tetapi saya percaya di dalam setiap perkahwinan, hanya suami atau isteri yang lebih tahu mengenai masalah mereka.

“Mungkin bagi sesetengah orang, masalah tidak sama. Ada yang anggap masalah itu kecil, tetapi besar buat orang lain. Begitu juga dengan saya. Saya sebelum ini pernah menghadiri sesi kaunseling untuk mengelakkan perkara ini berlaku, tetapi ianya tidak berjaya.

“Kini saya dan suami masih tinggal serumah cuma adakalanya dalam menghadapi masalah seperti ini, dia tidak pulang. Selain itu, kerjayanya yang sentiasa sibuk juga memintanya untuk sering tidak berada di rumah,” ujar Ramlah yang masih kelihatan cantik dan bergaya.

Dengan segala masalah yang membelenggu dirinya, Ramlah menjelaskan dia tidak pernah serik dengan perkahwinan. Katanya apa yang dilaluinya adalah satu pengalaman kehidupan dan redha melaluinya.

“Sedih memanglah sedih dengan apa yang terjadi. Sedih sebab ikatan yang terjalin telah putus. Tetapi saya redha dengan apa sahaja keputusan yang berlaku selepas ini dan tidak pernah kesal dengan perkahwinan ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.