Berita

Ramlah Ram failkan perceraian


KUALA LUMPUR 15 Jun – Penyanyi terkenal, Ramlah Ram hari ini mengakui dia dan suaminya, Kamal Roslim telah memfailkan perceraian pada Mei lalu.

Enggan mendedahkan dengan lebih terperinci, dia yang ditemui pada majlis sidang akhbar Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram di sini bagaimanapun memberitahu, keputusan memfailkan perceraian itu adalah atas persetujuan bersama.

Ramlah mendirikan rumah tangga dengan Kamal yang merupakan petugas Bahagian Sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 3 November 2000. Sehingga kini pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata.

‘‘Sekarang kami masih lagi dalam proses perceraian. Kalau boleh saya tidak mahu bercerita panjang kerana keputusan masih belum muktamad.

“Saya memang cukup menyayangi perkahwinan saya malah, selagi boleh cuba menyelamatkannya. Jodoh, pertemuan dan ajal semuanya di tangan Tuhan dan jika sudah tiada jodoh saya tidak boleh menolak.

“Saya faham ramai yang ingin mengetahui apa sebenarnya yang terjadi namun, saya berjanji setelah semuanya benar-benar muktamad nanti saya akan mendedahkannya,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu.

Menurut Ramlah, hubungannya dengan suami masih baik walaupun tidak lagi tinggal bersama.

Usia perkahwinan mereka yang memasuki tahun ke-10 dilanda badai selepas tiada lagi persefahaman.

‘‘Andai kata terpaksa berpisah, kami masih boleh berkawan. Memanglah hati saya sedih apatah lagi ketika berkahwin, dia merupakan orang yang saya sayangi tetapi saya yakin boleh menerima keputusan yang kami ambil,” katanya.

Source: Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.