Berita

Lepas 10 Tahun Kahwin, Ramlah Failkan Cerai!

KUALA LUMPUR, 15 JUN 2010 : Selepas 10 tahun mendirikan rumahtangga dengan Kamal Roslin, akhirnya penyanyi Selamat Jalan Romeo, Ramlah Ram mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya.

Ketika mengesahkan perkara itu kepada pihak media, Ramlah memberitahu bahawa tuntutan cerai itu sudah pun dibawa ke mahkamah baru-baru ini. Bagaimanapun dia enggan mengulas lebih lanjut mengenai penceraian itu.

“Ya memang kami sudah membuat keputusan untuk berpisah baru-baru ini, tapi minta maaflah, Ramlah tidak boleh ulas panjang-panjang tentang perkara ini sebab ia Ramlah dan Kamal masih tunggu keputusan daripada mahkamah.

“Tidak terniat pun di hati untuk menyembunyikan perkara ini. Tapi, perkara ni masih terlalu baru lagi. Malah ia baru sahaja difailkan di mahkamah. kalau ada berita terbaru pasal benda ini Ramlah janji Ramlah akan memberitahu pihak media.

“Setiap individu pasti menyayangi hubungan suami isteri, begitu juga dengan Ramlah. Apabila berlakunya perpisahan seperti ini, sudah tentulah Ramlah rasa sedih sangat. Bagaimanapun, Ramlah redha dengan apa yang akan berlaku selepas ini,” katanya kepada murai.com.my.

Ditanya sama ada keputusanya untuk berpisah dengan Kamal berpunca daripada orang ketiga, Ramlah bagaimanapun enggan mengulasnya. Sebaliknya, dia memberitahu hubungannya dengan suami tidak mempunyai persefahaman.

“Ramlah tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana ini adalah keputusan yang dibuat bersama. Kami sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan hubungan kami ini termasuklah berbincang serta melalui proses kaunseling. Tetapi apa kan daya, usaha kami gagal. Mungkin, benarlah ia disebabkan tiadanya persefahaman di antara kami berdua.

“Sekarang ini, Ramlah lebih banyak menjalankan kehidupan seperti biasa. Kami dah tak lagi tinggal sebumbung, cuma kadang-kadang sahaja jumpa. Sebab, walaupun dah berpisah, kami tetap berkawan.

“Kalau boleh Ramlah tak nak campur adukkan soal ini dalam urusan kerja, sebab bagi Ramlah kerjaya dalam bidang seni sangat penting. Jadi, biarlah Ramlah tumpukan perhatian pada karier nyanyian Ramlah saja. Ramlah berharap semua orang menghormati hak peribadi Ramlah. Tidak perlulah dipanjangkan hal ini,” katanya.

Jelas Ramlah lagi, setiap orang juga ada masalah tersendiri, termasuklah dirinya sendiri.

“Cuma terpulang kepada individu masing-masing bagaimana untuk menanganinya. Ada yang menganggap sesuatu masalah itu besar dan ada pula yang anggap sesuatu masalah besar itu kecil. Tetapi bila ada perkara terjadi dalam perkahwinan, Ramlah dan Kamal tidak pernah gaduh. Kami lebih suka berbincang. Rasanya itulah pendekatan yang terbaik,” ujar bekas pemenang Bintang RTM 1985.

Sebelum ini, Ramlah jarang dilihat bersama suami sehingga menimbulkan fitnah bahawa hubungan mereka sudah retak. Bagaimanapun, Ramlah pernah menafikan gosip tersebut malah menjelaskan hidup mereka masih bahagia.

Text oleh : Thani Hasbullah
Source : murai.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.