Berita

Ralat Tidak Penuhi Permintaan Bapa

RAMLAH meniup kek hari jadinya sambil diperhatikan peminat dan ahli keluarga yang hadir memeriahkan majlis.

APABILA membicarakan kemampuan artis yang mampu mempertahankan kedudukan mereka dalam tempoh yang lama memang boleh dibilang dengan jari. Nama-nama seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Jamal Abdillah, Amy (Search), Datuk Sharifah Aini, Datuk Sheila Majid, Jay Jay, Aishah, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza antara mereka yang utuh membina populariti.

Apakah rahsia mereka mampu bertahan sehingga kini dan terus menjadi pujaan hati peminat-peminat mereka?

Memang tidak dinafikan, bakat merupakan aset utama mereka untuk terus berdiri teguh di persada seni tanah air.

Berbeza bagi penyanyi bersuara lantang, Ramlah Ram. Dia mempunyai rahsia lain sehingga berjaya meletakkan namanya sebagai satu jenama isi rumah selama suku abad.

“Bagi saya, apa yang penting ialah menjadi diri sendiri. Kerana itu, peminat mudah menerima kita dan terus menyokong kita sampai bila-bila selain bakat yang ada dalam diri kita.

“Saya bersyukur kerana mempunyai kelompok peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya sejak 25 tahun hingga ke hari ini,” katanya merendah diri sewaktu ditemui pada majlis sambutan hari jadinya yang ke-43 di Restoran Tupai-Tupai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kemeriahan keraian yang dianjurkan kelab peminat Ramlah yang menggelarkan diri mereka sebagai Ramlah Ram Group (RRG) turut disertai oleh beberapa rakan artis lain seperti Alyah, Hafiz Hamidun dan Yusrizan Usop atau lebih dikenali sebagai Bob.

Jika diselak lembaran seni Ramlah, sememangnya tidak dinafikan penyanyi ini memiliki vokal mantap dan hebat.

Bakat seni yang ada padanya meletakkan dirinya sebagai salah seorang penyanyi wanita terbaik negara yang pernah dilahirkan.

Kerana kelebihan itu jugalah, dia pernah diberi jolokan sebagai Whitney Houston Malaysia kerana kebolehannya menyanyi dalam nada tinggi sehingga mencapai nota F Sharp.

Ramlah juga pernah mencatatkan sejarah apabila menjadi penyanyi wanita pertama negara yang mencatatkan penjualan album sebanyak 350,000 salinan menerusi album keduanya, Kau Kunci Cintamu (Di Dalam Hatimu).

Tidak keterlaluan juga dikatakan, Ramlah juga boleh dilihat sebagai seorang ikon fesyen kerana berani tampil dengan pelbagai pembaharuan saban tahun biarpun dikecam dan dikritik dengan hebat sebaik sahaja bergelar juara Bintang RTM 1985.

Sudah menghamba diri dalam bidang seni selama 25 tahun dan memiliki rangkaian lagu-lagu yang cukup popular dan malar segar, tidak dinafikan Ramlah memang sudah layak untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar.

Perancangan

Biarpun sudah berusia 43 tahun, namun Ramlah masih lagi mampu membuktikan kredibiliti dan kehebatan vokalnya yang cukup mantap serta bertenaga itu.

“Saya tidak ada apa-apa rahsia. Cuma, saya memang elak minuman berais dan berkarbonat. Semua petua itu saya amalkan sejak dulu lagi dan ia juga merupakan amalan penyanyi-penyanyi senior yang lain,” tuturnya saat ditanya tentang petua menjaga suaranya itu.

Sempat juga Ramlah ditanya, tidakkah dia teringin untuk mengadakan sebuah persembahan besar untuk peminat-peminatnya bagi meraikan sambutan jubli perak pembabitannya dalam bidang seni suara.

Dengan pantas, penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Kau Kunci Cintaku (Di Dalam Hatimu) ini memberitahu, perancangan itu sudah tercatat dalam diari seninya untuk tahun ini.

Cuma, kini dia dan pihak syarikat rakamannya, Fantasia Music City (FMC) sedang berbincang tentang lokasi yang sesuai bagi mengadakan persembahan tersebut.

Tidak mengimpikan mahupun terlalu berharap untuk beraksi di sebuah pentas besar, kata Ramlah, memadailah tempat itu kelak dapat menghimpunkan semua peminatnya agar mereka berasa puas menikmati alunan lagu-lagunya.

“Dengan adanya teknologi moden hari dan rangkaian laman web sosial seperti Facebook dan YouTube, ia dapat merapatkan lagi hubungan saya dengan peminat.

“Saya memuji dan kagum dengan usaha yang dilakukan oleh RRG yang tidak pernah putus menganjurkan pelbagai aktiviti dan acara untuk saya meluangkan masa bersama-sama mereka.

“Malah, majlis hari jadi ini juga adalah inisiatif mereka untuk meraikan saya.

“Apa yang membuatkan saya terharu ada seorang peminat setia saya yang datang jauh dari Kemanan, Terengganu semata-mata mahu menyertai sambutan ini,” katanya yang dilahirkan pada 19 Februari 1967 itu dalam nada terharu.

Sempena sambutan jubli peraknya itu juga, Ramlah berasa besar hati seandainya bekas syarikat rakamannya, BMG Music (kini Sony Music) mengambil inisiatif untuk mengeluarkan album kompilasi khas atau box set yang merangkumi album pertamanya hingga terakhir bersama syarikat itu.

Sedang rancak berbicara, tiba-tiba nada suara anak kelahiran Kesang, Muar, Johor ini berubah apabila mengenang ayahanda tercinta, Allahyarham Ram Mohammed yang menemui Ilahi pada 29 Januari lalu.

Meninggal dunia pada usia 70 tahun, Ramlah memberitahu ayahnya itu meninggal dunia kerana sakit tua dan jenazahnya dikebumikan di kampung halamannya di Muar, Johor.

Sehingga kini, Ramlah masih lagi terngiang-ngiang bicara arwah bapanya yang seolah-olah tahu bahawa dia akan pergi selama-lamanya.

“Ketika itu, kami semua berada di rumah kakak saya di Cheras dan kami semua mahu keluar sebentar.

“Abah tidak dapat ikut sekali kerana keadaannya yang tidak mengizinkan dan ketika itulah, dia memujuk saya agar tidak keluar.

“Arwah abah tanya tidakkah saya mahu berbual lagi dengannya kerana sudah lama kami tidak duduk berbual dan bermesra.

“Kalaulah saya tahu itu permintaannya yang terakhir, pasti akan saya tunaikan kerana sejak akhir-akhir ini saya begitu sibuk sehingga tidak dapat berbual panjang seperti kebiasaannya,” kata Ramlah penuh ralat kerana arwah bapanya itu merupakan penyokong setia dan pembakar semangatnya sejak 25 tahun lalu.

Kerana itu juga, Ramlah meminta sambutan hari jadinya ditangguhkan selepas genap 40 hari pemergian arwah bapanya.

Kesedihan anak keempat daripada enam beradik ini tidak terhenti setakat itu sahaja kerana tidak sampai sebulan selepas bapanya meninggal, salah seekor daripada lapan kucingnya pula menemui ajal.

“Memang bertimpa-timpa kesedihan yang saya alami dan kucing yang bernama Tom itu merupakan yang paling saya sayang.

“Tetapi, syukurlah, kerana seminggu sebelum dia mati, ada seekor kucing yang datang ke rumah saya bagai memberi tanda akan berganti nyawa,” kata pelantun lagu Selamat Jalan Romeo dan Zapin Yang Tinggal ini kembali senyum.

Mengenai perkembangan seni terbarunya, Ramlah sedang berusaha untuk mencari material terbaru dan terbaik selepas kejayaan album Ketentuan yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Mungkin saya akan muncul dengan single terlebih dahulu sebelum melahirkan sebuah album penuh,” ujarnya ringkas.

4 thoughts on “Ralat Tidak Penuhi Permintaan Bapa

  1. Sungguh meriah majlis ulang tahun penyanyi kesayangan saya kali ini. Tahniah buat RRG kerana berjaya menganjurkan majlis seperti ini. Syabas!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.