Berita

Ramlah Ram Tetap Redha Tanpa Anak

KUALA LUMPUR, 16 DISEMBER 2009: Selama 9 tahun berkahwin, Ramlah masih belum dikurniakan zuriat sendiri tetapi perkara itu tidak pernah memberikan tekanan kepadanya untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Apa boleh buat belum ada rezeki. Dah 9 tahun Ramlah berkahwin iaitu pada 3 November 2000.  Setakat ini belum terlintas di hati Ramlah dan suami untuk mengambil anak angkat. Mungkin satu hari kelak kami akan fikirkan,” kata Ramlah kepada wartawan.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran album karaokenya di ibu negara, baru-baru ini. Kata Ramlah, dia juga belum terfikir untuk bersara buat masa ini. Sekiranya dia akan bersara kelak, dia mahu membuka perniagaan restoran seperti mana rangkaian Secret Recipe.

“Ramlah belum jadi jutawan, jadi belum masanya nak bersara,” kata Ramlah dalam nada jenaka.

“Kalau saya dah jadi jutawan, saya akan nyanyi secara percuma saja,” sambungnya yang boleh dianggap penyanyi angkatan 80-an yang masih aktif merakamkan lagu hingga kini.

Malah, Ramlah bertuah kerana dia memiliki kelab peminat RRG (Ramlah Ram Group) yang sentiasa menyokongnya dalam perjuangan sebagai anak seni.

“Sekarang ni, Ramlah sedang sibuk merencana konsert jelajah seluruh Malaysia. Pun begitu, waktu dan tempat masih belum tahu lagi. Semuanya dalam proses perbincangan lagi. Insya-Allah, kalau konsert tersebut jadi, Ramlah akan menyanyikan lagu baru dan lagu-lagu yang pernah menaikkan nama Ramlah selama ini,” kata anak jati Kampung Kesang, Muar ini.

Sebelum pelancaran album CD & MTV Karaoke Ketentuan pada hari itu, Ramlah pernah terjebak dengan kontroversi isu lagu nyanyiannya yang diboikot stesen radio. Adakah isu ini masih menghantui Ramlah?

“Kalau seseorang artis tu nak buat album, dia kena sanggup hadapi risiko. Apatah lagi, sekarang keadaan lebih teruk lagi cabaran dengan 1001 dugaan. Niat Ramlah buat album pun bukanlah nak bersaing dengan artis muda. Ramlah hanya mahu hiburkan peminat Ramlah dan mengumpul peminat generasi baru. Semua sudah ada bahagian rezeki masing-masing. Kalaulah orang tak suka dengan Ramlah, terpulanglah.

“Tapi Ramlah sedar tak semua stesen radio bertindak menolak lagu artis kita. Ramlah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong Ramlah,” katanya.

Source: Murai.com.my
Oleh: Razif Rosdi
Foto: Bonie Shariff

Teks oleh Razif Rosdi
Foto oleh Bonie Shariff

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.