Berita

Ramlah Masih Isteri Kamal

ASALKAN bertemu dengan penyanyi ini, pasti ramai yang akan bertanyakan soalan tentang rumah tangga serta suaminya. Meski berulang kali menafikan bahawa alam perkahwinannya berhadapan dengan masalah, penafian itu bagaikan tidak mampu menutup mulut mereka yang mengajukan pertanyaan sama.

Semua gara-gara dia sering dilihat keseorangan setiap kali menghadiri majlis-majlis tertentu dan aktiviti membabitkan hiburan.

Gosip terbaru mula tersebar dengan dirinya dilaporkan tidak lagi tinggal sebumbung dengan suaminya.

Begitulah yang terjadi terhadap Ramlah Ram, artis yang sudah 24 tahun bergelumang dalam dunia seni tanah air.

Jelas juara Bintang RTM 1985 ini, gosip dan pertanyaan mengenai rumah tangganya selama ini merupakan perkara biasa buatnya.

Mengahwini Kamal Roslim, sembilan tahun lalu, Ramlah dengan nada tegas menyatakan bahawa apa yang dikata orang berkenaan hidupnya dan suami adalah tidak benar.

“Saya masih isteri Kamal. Sudah berkali-kali saya menafikan apa jua gosip. Terserahlah kepada semua untuk menilai.

“Namun, dalam soal rumah tangga, saya bukannya boleh meramal masa depan. Semua di tangan Allah.

“Doa saya, semoga perkahwinan ini akan berkekalan selamanya,” kata Ramlah ketika ditemui pada majlis pelancaran album Ketentuan versi VCD (cakera padat video) MTV karaoke di ibu negara, baru-baru ini.

Album Ketentuan dalam bentuk cakera padat (CD) telah mula berada di pasaran sejak 1 Jun lalu bersama syarikat rakaman FMC.

Untuk versi VCD MTV karaoke, ia membariskan lagu-lagu seperti Radang Rindu, Ketentuan, Aku Dengan Dunia, Langit Cinta, Dirgahayu, Cinta Beralah, Hadiah Setiaku, Pasti, Bersimpuh Di Pintu Hati dan Kasih Yang Dulu.

Lapan buah lagu dalam versi itu telah menjalani proses pembikinan klip video di Pulau Pangkor, Perak manakala dua lagi lagu dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selain Ramlah, majlis itu juga turut melibatkan Ameng Spring yang muncul dengan VCD MTV karaoke Terima Kasih…, sebuah album istimewa yang menggabungkan lapan buah lagu terhebat Ameng bersama kumpulan Spring.

Lapan buah lagu itu adalah Bourgenvilla, Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta, Romantis, Pesanan Buat Kekasih, Sampai Hati, Sejujur Mana Kata Kata, Sejiwa dan Sepi Tanpa Cinta.

Turut dimuatkan, dua buah lagu baru iaitu Kesalan Ku dan Sudikah Jadi Kekasihku.

Menyambung bicara, Ramlah berkata, rumah tangganya bersama Kamal sudah berlangsung selama sembilan tahun dan selama jangka waktu itu, dirinya sudah acap kali dihujani persoalan mengenai status perkahwinannya.

Perkara tersebut, ujarnya, cukup merimaskan sehingga ada kalanya membuatkan dia rasa tertekan.

“Tetapi, saya sudah biasa melalui semuanya itu. Apa yang penting, kami saling mempercayai antara satu sama lain.

“Kalau asyik hendak memikirkan soal curiga tentang dia, ia akan memeningkan kepada sahaja,” jelasnya.

Tidak tinggal sebumbung?

Mengenai gosip yang mengatakan dia dan Kamal sudah tidak tinggal bersama, Ramlah dengan wajah tenang memberitahu, dakwaan itu tidak benar.

Katanya, Kamal seorang yang komited dengannya tugas di Bahagian Sukan, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Angkasapuri.

“Kadang-kadang, dia terpaksa bertugas di luar. Kalau di pejabat pula, dia selalu balik lewat malam.

“Rumah kami di Shah Alam sangat jauh kalau Kamal terpaksa bertugas sehingga lewat malam, dia tidak akan pulang ke rumah dan tinggal di rumah kawan-kawan berdekatan tempatnya bekerja,” ujarnya.

Menurut Ramlah, dengan keadaan dirinya yang sering kali ‘ditinggalkan’, dia turut mengharapkan agar antara dia dan Kamal sentiasa berlaku jujur.

“Saya pun harap yang dia tahu bahawa dia adalah suami orang. Saya bukanlah jenis yang kuat cemburu.

“Setiap orang ada sikapnya tersendiri. Percaya dan jujur, itu adalah perkara yang amat penting,” jelasnya yang tidak kisah apa sahaja kata orang mengenai dirinya dan suami.

Sambutan 25 tahun

Sementara itu, ujar Ramlah, menjengah Februari 2010 nanti, ia membawa satu detik bersejarah buat dirinya apabila genap 25 tahun bergelumang sebagai artis.

Selain sedang merangka jadual untuk promosi album baru di seluruh negara, dia juga akan memikirkan lokasi bersesuaian untuk menyambut ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam seni hiburan tempatan.

“Alhamdulillah saya masih lagi diterima. Masih ada yang sokong saya termasuk peminat-peminat baru,” katanya.

Namun begitu, sepanjang perjalanannya sebagai artis, Ramlah melahirkan rasa kecewa terhadap sikap sesetengah stesen radio yang masih tidak peduli akan industri muzik tempatan khususnya artis lama sepertinya.

“Ada juga stesen radio yang pilih kasih. Saya tidak marah tapi rasa terkilan dan kecil hati.

“Sebagai artis lama, saya juga mencuba selitkan trend muzik baru dan terkini. Bukannya hendak menyaingi artis baru tetapi saya mahu memeriahkan lagi industri muzik tanah air.

“Mujur ada stesen radio yang mahu memutarkan lagu-lagu saya,” tambahnya.

One thought on “Ramlah Masih Isteri Kamal

  1. Radio pun kenelah bantu artis-artis senior seperti Ramlah. Tiada mereka tiadalah artis baru seperti sekarang yang rata-rata pasti meminati artis2 idola mereka yg memberi inspirasi untuk kecimpung kedalam dunia seni ini….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.