Aktiviti RRG

Semuanya Hanya Keranamu

Majlis Sambutan Hari Ibu dan Bapa anjuran Restoran Sri Melayu (RSM)

Hari Sabtu 16 Mei 2009 lalu berlangsung Majlis Sambutan Hari Ibu dan Bapa anjuran Restoran Sri Melayu (RSM) yang mengabadikan sambutan buat semua ‘parents’ yang selama ini banyak berjasa pada anak-anak mereka. Majlis juga dijayakan oleh Nabil Raja Lawak dan Diva Ramlah Ram. Walaupun 16 Mei sinonim dengan sambutan Hari Guru, namun inisiatif yang diambil oleh pihak RSM benar-benar memberikan satu kenangan manis buat semua yang hadir walaupun tanpa sang ‘guru’ yang diraikan. Namun pada aku ibu dan bapa kita juga adalah ‘Guru’ dalam hidup kita. Cara kita dibesarkan dan tingkah laku seseorang adakalanya cukup dipengaruhi sang suami isteri yang bergelar ‘parents’ pada anak-anak mereka.

Apapun sedikit terkilan kerana aku sendiri tidak sempat membawa ibu dan ayahku. Lagipun sepanjang aku hidup di bumi Allah ini, sambutan sebegini bukan lah sesuatu yang begitu diinginkan oleh kedua ibu bapaku. Terkadang teringat juga pada Mama (ibu kandungku) yang hingga kini sudah lebih 26 tahun tidak aku temui. Aku cuma mampu mendoakan kebahagiaannya disamping ayah tiriku dan kedua adik tiriku itu. Semoga dia juga mengingatiku. Bukan tidak mahu ‘mencari’nya ataupun menggunakan kaedah ‘Jejak Kasih’ tapi banyak hati yang perlu ku jaga untuk melakukan semua itu. Apatah lagi ibu tiriku yang banyak berkorban membesarkanku, adik perempuanku yang hingga kini tidak tahu langsung yang aku ini adalah saudara kandungnya yang berlainan ibu, begitu juga hati-hati disebelah pihak Mama, ayah tiriku dan anak-anaknya apakah mereka tahu mereka mempunyai abang berlainan bapa dengan mereka? Terlalu kompleks bukan? Kita lupakan soal hidup aku ya..

Kehadiran kak Ramlah pada tengahari itu benar-benar menerujakanku. Apatah lagi hampir sebulan tidak berjumpa dan bersua muka. Potongan rambut baru ala Cleoptra dan busana yang anggun dikenakan begitu memukau pandangan. Restoran Sri Melayu yang penuh dengan anak-anak dan ibu bapa mereka begitu terpegun dengan kemunculan Kak Ramlah sebaik sahaja diumumkan oleh pengacara majlis. Memulakan persembahan dengan lagu ‘Ayah Dan Ibu’ nyanyian asal oleh Allahyarham Sudirman alunan suara kak Ramlah membuatkan dewan seolah senyap seketika diikuti oleh lagu ‘Maharaja’. Terima kasih atas komen dari seorang pembaca, Hafiz yang mengatakan kak Ramlah mesra peminat kerana turun pentas dan bersalam dengan peminat ketika menyanyikan lagu-lagunya.
Lagu kedua sebaik sahaja beliau tiba dipentas adalah hits terbarunya ‘Ketentuan’ yang benar-benar memukau sekalian yang hadir dengan vokal yang mantap lagi bertenaga. Pada aku show kali ini benar-benar ‘relax’ pada Kak Ramlah maka lontaran vokal, lirik dan alunan suaranya berada di tahap maksima. Meremang bulu roma sewaktu lirik “Sesungguhnya ku tahu betapa sukar untuk ku menempuh hidup walau sehari tanpamu” Ini vokal paling ‘superb’ pernah aku dengar untuk lagu berhantu ciptaan abang Azlan ini.
Lagu memori ‘Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu’ dan ‘Diam Diam Jatuh Cinta’ tidak ketinggalan dinyanyikan oleh kak Ramlah. Memang ramai sebenarnya peminat kak Ramlah. Malah ada antaranya malu mengaku yang mereka meminati bintang yang bertaraf Diva ini. Biasalah orang kita hanya pentingkan pada personaliti dan bukan bakat. Terlanjur cakap pasal personaliti, banyak suara sumbang yang mengatakan kak Ramlah ‘cucuk’ botox untuk cantik bagai! Wah! Sedapnya buat fitnah!! Baik kalian pergi berzina dari memfitnah benda-benda yang kalian tidak tahu kerana dosa fitnah itu lebih besar dari berzina! Kalaulah benar kak Ramlah ‘cucuk’ botox, mana mungkin aku mengenalinya ketika kami sama-sama makan sate Kajang tahun lalu. Yelah ketika itu dia langsung tidak mengenakan solekan.
Nampak lain benar, kejelitaan asli yang dipandang. Hinggakan rakanku Azri ketika itu sempat membisikkan di telingaku “Betul ke yang ni Ramlah Ram?”  Nah! Kalian lihat sendiri bagaimana tranformasi yang dilakukan Bosco setiap kali kak Ramlah muncul di TV ataupun mana-mana persembahan beliau. Aku memang ‘tabik’ pada Bosco kerana aku pernah diberitahu oleh para juru solek bermulut puaka mengatakan artis yang paling susah untuk disolek adalah Ramlah Ram. Sampai macam tu sekali ya? Tapi hasil kerja professional Bosco merubah segalanya. Siapa kata kak Ramlah tak cantik? Setiap manusia ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Mungkin juru solek ‘puaka’ tu baru pegang alat solek kot? Kalau dah tau diri tu ‘bodoh’ dan tak pandai menari, belajar lah dulu, jangan redah cakap lantai ‘show’ jongkang-jongkit ye tak?
Apapun persembahan kak Ramlah petang itu mendapat tepukan paling gemuruh dari semua hadirin. Paling aku bangga meja dibelakangku yang diduduki oleh beberapa penonton dari kaum Cina. Sebaik sahaja lagu Ketentuan selesai dialunkan, mereka orang pertama bertepuk dan menjerit “Good show Ramlah!” dan mereka beredar sebaik sahaja kak Ramlah selesai menyanyikan lagu terakhir ‘Zapin Yang Tinggal’. Adakah bermakna mereka ini datang semata-mata untuk menonton persembahan atau kebetulan berada di dewan ini? Apapun itulah hakikatnya. Yang terbaik tetap dipandang dua belah mata oleh mereka yang tahu menilai berbanding mereka yang “berlagak pandai tapi asalnya bodoh dungu!”

Selesai majlis malam itu aku dan AJK RRG yang lain seperti Fai, Rizal, Dean dan juga Aida yang datang jauh dari Pahang menemani beliau untuk temuramah oleh pihak media. Orang kuat FMC, Amy dan Sam juga ada bersama tak ketinggalan Bosco yang tidak jemu-jemu menata rias wajah kak Ramlah yang solekannya mula ‘cair’ dek penangan lampu limpah yang ada. Antaranya adalah temuramah dengan Saluran Muzik Aktik di Astro 180 untuk rancangan ‘Epitome Seni’  dan juga temuramah bersama Berita Hiburan RTM.
Melalui perbincangan dengan Amy dan Sam juga, kami difahamkan yang album terbaru kak Ramlah berjudul ‘Ketentuan’ hanya akan berada di pasaran pada 3 Jun 2009 ini dan majlis pelancaran akan diadakan pada 18 Jun 2009 bertempat di Mines Resort City. InsyaAllah di majlis itu juga pihak FMC akan melancarkan juga album terbaru Jay Jay serta memperkenalkan artis terbaru mereka iaitu Ratu Pop Tradisional negara, Noraniza Idris dan penyanyi ‘indie’ yang kian popular dengan lagu ‘Dan Sebenarnya’ iaitu Yuna. Jadi buat semua peminat kak Ramlah jangan lupa hadir dengan tema ‘beach club’ di majlis ini. Untuk makluman lanjut kalian boleh melayari website rasmi Ramlah Ram di www.ramlahram.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.