BeritaHighlights

Ramlah Ram Guna Facebook Dekati Peminat

BERTAHAN selama 25 tahun dalam industri muzik tempatan sememangnya pencapaian yang amat membanggakan, pada ketika ramai artis yang tampil buat beberapa ketika, kemudian lenyap ditelan masa. Ramlah Ram sebenarnya mencatat kejayaan hebat apabila mampu menghiburkan peminat sehingga ke hari ini, biarpun bukan sedikit ranjau yang terpaksa ditempuhi.

Untuk kekal lama, Ramlah mempunyai prinsipnya sendiri. Bukan mahu menunjukkan keegoan, sebagaimana yang sering dia tegaskan, sebaliknya penyanyi yang memiliki suara bernada tinggi ini percaya, apabila seseorang artis itu menjadi dirinya sendiri, kelangsungan karier dengan sendirinya akan bertahan lebih lama. Katanya, penyanyi seangkatan dengannya seperti Datuk Sheila Majid dan Ella, masing-masing tidak pernah mencuba untuk mengubah kekuatan yang ada pada diri mereka. Justeru, peminat menyanjungi kedua-duanya sehingga mereka berupaya untuk kekal memeriahkan industri hiburan tanah air hingga ke detik ini. “Selain itu, hubungan dengan peminat juga harus dijaga. Seseorang artis meniti puncak populariti pun kerana sokongan peminat. Justeru, hargai dan jaga hubungan baik itu selama-lamanya,” ujar Ramlah ketika ditemui pada sambutan ulang tahun hari lahirnya yang ke-43, yang dianjurkan Ramlah Ram Group (RRG) di restoran Tupai-Tupai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut penyanyi Maharaja ini, dia sendiri sentiasa menghormati serta berhubung dengan peminat sehinggalah ke hari ini. Sekarang, dengan adanya teknologi baru, dia menyemai perhubungan itu menerusi laman sosial Facebook.

“Saya berasa seronok kerana dapat berasakan perubahan bagaimana kita berinteraksi bersama peminat, sejak era 80-an hingga ke saat ini. Saya dapat lihat segala perubahan itu,” katanya yang masih menyanyi menggunakan nada asal, sebagaimana dia mula-mula merakamkan album pada 1985 dulu.

Bercerita mengenai kemampuannya mengekalkan ketinggian suara, Ramlah mengaku dia rajin bertanya pada artis veteran seperti Datuk Ahmad Jais dan arwah Rosiah Chik. “Saya berasa seronok kerana dapat berasakan perubahan bagaimana kita berinteraksi bersama peminat, sejak era 80-an hingga ke saat ini”

“Mereka jarang meminum minuman sejuk. Saya juga tidak suka mengamalkan minuman yang mempunyai ais. Kalau boleh, elakkan sekali minuman bergas. Mungkin kesannya tidak akan kelihatan sekarang, tetapi ia dilakukan bagi mengelakkan kesan jangka panjang,” tutur penyanyi ini.

Katanya, dia sendiri berasa tidak selesa apabila key lagunya diturunkan, kerana sudah biasa dengan gaya nyanyiannya itu sejak lebih dua dekad yang lalu.
Ramlah ialah antara penyanyi wanita dengan nada paling tinggi di negara ini, apabila vokalnya mencapai nada “F Sharp”. Pada majlis terbabit, Ramlah turut menghiburkan peminat dan rakan media, yang nyata terus mengagumi keupayaan hebat penyanyi wanita ini ketika dia mengalunkan beberapa lagu popularnya seperti Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu dan Apa Khabarmu Di Sana.

Selepas 25 tahun dalam bidang seni, Ramlah sedar, dirinya mungkin sukar untuk kembali mendaki tangga tertinggi populariti. Begitupun dia amat bersyukur kerana masih berpeluang untuk menghiburkan orang ramai dengan suara dan muziknya sampai saat ini.

“Memang ada sesetengah orang yang bagaikan meminta saya untuk tidak lagi menyanyi. Namun, nyanyian sudah begitu lama menjadi sebahagian daripada diri saya. Ia sudah sebati dan berdarah daging dalam tubuh saya ini. Peminat juga masih memberikan sokongan dan mereka tetap mendorong saya maju ke depan sehingga kini. Saya menyanyi pun, untuk mereka yang sukakan saya.

“Untuk kembali popular seperti suatu masa dulu, mungkin sukar diulang lagi. Sejak dulu saya amat sedar, kehidupan kita umpama roda. Saya sendiri tidak begitu kisah pada semua itu sebab waktu saya popular dulu, saya selalu ingatkan diri sendiri mengenai hakikat dunia seni. Ada ketikanya, kita akan berada di bawah juga.

“Namun begitu, saya berasa puas dengan apa yang sudah dikecapi. Saya bukan mengejar impian yang menggunung tinggi. Saya tidak mengimpikan kejayaan yang bukan-bukan, seperti menguasai pasaran antarabangsa. Saya sudah dapat beberapa trofi, yang selebihnya itu saya anggap sebagai bonus,” katanya sambil menguntumkan senyuman.

Ditanya mengenai kemungkinan dia mengadakan persembahan istimewa sempena suku abad pembabitan dalam seni, Ramlah berkata, sememangnya mereka ada membuat perancangan ke arah itu.

“Mungkin saya akan mementaskan sebuah konsert mini bagi memperingati 25 tahun bergelar penyanyi. Ada kemungkinan ia diadakan di Hotel Impiana, namun semuanya belum betul-betul pasti.

“Sudah tentu saya begitu teruja apabila berpeluang mengadakan persembahan sebegini kerana saya memang ingin menghiburkan peminat yang selama ini banyak menyokong karier saya dalam bidang muzik,” kata Ramlah yang muncul bersama album Ketentuan pada tahun lalu, bersama syarikat rakaman FMC.

Ramlah kehilangan bapa tercinta

SEPATUTNYA majlis sambutan hari lahirnya diadakan pada Februari lalu. Bagaimanapun, kira-kira sebulan sebelum itu, penyanyi ini kehilangan bapa tercinta, Ram Mohammed, 70-an, yang meninggal dunia di Cheras, Kuala Lumpur, pada 9 Januari. Beliau disemadikan di Muar, Johor.

Bagi menghormati pemergian arwah bapanya, Ramlah meminta RRG menangguh acara berkenaan sehinggalah tiba waktu lebih sesuai.

“Bapa saya sebenarnya sudah agak lama tidak berapa sihat. Walaupun dia masih boleh berjalan, tetapi pernafasannya dibantu oleh oksigen. Bagaimanapun, sewaktu dia meninggal, keadaan kesihatannya boleh dikatakan cukup baik.

“Saya memang berasa amat sedih dengan pemergiannya. Tidak lama sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, dia yang ketika itu tinggal bersama kakak, mengajak saya berbual dengannya. Dia juga meminta saya supaya tidak keluar ke sebuah majlis kerana ingin menghabiskan waktu bersama-sama.

“Tidak pernah saya menyangka, permintaan itu membawa petanda dia akan pergi buat selama-lama,” ujar Ramlah.

Bagai kesedihan yang bertimpa, kira-kira sebulan selepas pemergian bapanya, Ramlah kehilangan pula kucing peliharaan kesayangan yang diberi nama Tom. Kucing yang paling muda di kalangan lapan ekor peliharaannya itu mati kerana sakit dialami pada bahagian pinggang.

“Kehilangan Tom umpama kehilangan saudara saya sendiri,” kata Ramlah yang kini kembali mempunyai lapan ekor kucing apabila seekor kucing yang tidak lagi bertuan tumpang berteduh di kediamannya.

2 thoughts on “Ramlah Ram Guna Facebook Dekati Peminat

  1. Wah Ramlah, kalau search di facebook, boleh jumpa 3 jenis akaun yang dedicated utk beliau!;

    a) Akaun facebook peribadi Ramlah Ram
    b) Fanpage Ramlah Ram
    c) Ramlah Ram Group

    Memang canggih dan mesra peminat Kak Ramlah kita ni…..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.