BeritaHighlights

Ramlah Ram Masih Bahagia

PENAMPILAN merupakan satu perkara yang penting buat artis kerana dari situ bermulanya penilaian peminat terhadap mereka. Dari rambut sampai ke kasut semuanya harus digaya rapi cuma yang membezakan hanya jenama dan harga sahaja. Mengenali penyanyi Ramlah Ram juga, wanita ini tidak terlepas menjadi artis yang suka untuk bermain dengan gaya.

Malah beberapa tahun kebelakangan ini, penyanyi yang berasal dari Muar, Johor ini juga tidak ketinggalan dalam aspek menukar imej terutama pada rambutnya. Dia juga tidak takut bermain dengan solekan.

Namun untuk kemunculan terbarunya kali ini, Ramlah lebih menitikberatkan soal rambut. Ia juga seiring dengan single yang dijangka akan berada di pasaran sekitar tahun ini.

Ramlah yang cukup popular dengan lagu Ketentuan juga berpendapat imej terbarunya itu nampak segar dan akan membuat dia lebih yakin ketika berdepan dengan peminat.

“Kali ini saya akan membawakan lagu dalam genre pop. Jadi saya fikir, imej ini mungkin sesuai dengan lagu yang saya bawakan nanti,” katanya yang sukakan variasi dalam penampilannya.

Imej tersebut digayakan Ramlah yang menyambut hari kelahirannya yang ke-43 bersama Ramlah Ram Group (RRG) di Restoran Tupai Tupai, baru-baru ini.

Menggayakan paduan dua warna kegemarannya iaitu hitam dan merah, Ramlah yang tidak takut pada usia yang semakin meningkat turut melahirkan rasa bersyukur kerana masih ada berada dalam industri hiburan setelah 25 tahun menjadi anak seni. Biar banyak muka baru muncul, nama Ramlah tidak pernah tenggelam.

“Saya masih ada di sini juga kerana peminat, siapalah artis tanpa sokongan peminat. ” katanya pada majlis yang diacarakan oleh Roslan Shah itu.

Dalam pada itu, Ramlah dengan tenang menjawab soalan wartawan berkenaan suaminya, Kamal Roslim yang tidak hadir dalam majlis hari jadinya itu. Isu Ramlah dan suaminya, Kamal memang sering dipersoalkan media.

Malah pernah satu ketika pasangan yang sudah berkahwin selama sembilan tahun ini didakwa sudah bercerai. Namun semua fitnah itu dinafikan Ramlah. Juga, untuk kesekian kalinya, Ramlah masih memberikan alasan yang sama iaitu suaminya memang jarang turut serta dalam majlis yang dihadirinya.

“Suami agak sibuk kerana berkerja di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Saya tidak berani nak cakap saya bahagia atau tidak, kerana kita tidak tahu apa akan jadi lepas ini. Mungkin kalau saya cakap sekarang bahagia tapi esok lusa kita tidak tahu,” katanya penuh tanda tanya.

Tambah penyanyi itu lagi, antara perkara yang diamalkan selama sembilan tahun perkahwinan ialah banyakkan bersabar dan bertolak ansur.

“Semua perkahwinan ada masalah, cuma kalau masalah kecil tidak perlulah diperbesarkan dan cuba selesaikan masalah dengan cara terbaik.

“Apa yang paling penting kita perlu menghargai pasangan. Pasangan juga kena menghargai kita,” jelasnya yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu 1988 menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu.

Source : Kosmo
Oleh : AFIFI HAFIZ MOHD NOR

2 thoughts on “Ramlah Ram Masih Bahagia

  1. Tak habis2 kisah rumah tangga Kak Ramlah orang nak sibuk2. Bukan berita sebegitu yang peminat nak baca, Saya rasa ramai peminat lebih suka mendengar perkembangan mengenai karier beliau berbanding cerita-cerita dalam kelambu sebegini. Dunia dah moden, zaman dah berubah!

  2. Hah… betul tuh…. byk lagi bende lain yang boleh wartawan tulis kan? Tak lah peminat jemu baca balik2 kisah suami dia tu… adoi…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.